KUALA LUMPUR 2 April — Kenaikan harga diesel di Semenanjung Malaysia, dan pelaksanaan semula dasar bekerja dari rumah (WFH) dijangka memberi tekanan ketara terhadap permintaan bahan api runcit.
Menurut MBSB Research dalam nota analisisnya, situasi tersebut mengurangkan penggunaan bahan api berkaitan perjalanan harian sekali gus menjejaskan prospek hasil PETRONAS Dagangan Berhad (PDB).
Firma penyelidikan itu merujuk langkah kerajaan menyemak semula harga bahan api domestik, termasuk diesel dinaikkan sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter, serta galakan WFH bermula 15 April 2026.
“Gabungan dua faktor berkenaan dikhuatiri akan mengheret jumlah jualan runcit di stesen minyak merosot dalam jangka masa yang terdekat, susulan berlaku pengurangan aktiviti ulang-alik harian,” katanya.
Dalam pelarasan terkini, RON95 kekal RM1.99 (bersubsidi) dan RM3.87 (harga pasaran), namun RON97 turun 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal.
Bagi mengurangkan beban kos, kerajaan meningkatkan bantuan tunai di bawah program BUDI Diesel sebanyak RM100 bagi April 2026, menjadikan jumlah keseluruhan RM300 sebulan kepada penerima layak.
Selain itu, pelaksanaan WFH secara berfasa melibatkan kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat sebagai langkah mengawal penggunaan bahan api.

"Walaupun langkah ini menyokong pengurusan kos isi rumah dan disiplin fiskal negara, ia memberi kesan langsung kepada permintaan bahan api, khususnya dalam segmen runcit," kata MBSB Research.
Jelas firma penyelidikan tersebut, selama ini segmen berkenaan menjadi penyumbang utama kepada PDB, dan berdasarkan situasi semasa, ia menurunkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2026 (FY26).
Langkah penilaian semula itu tambahnya, mencerminkan prospek permintaan yang lebih berhati-hati, manakala penarafan saham kumpulan tersebut turut disemak turun daripada 'beli' kepada 'neutral'.
Di samping itu ujar MBSB Research, harga sasaran (TP) juga dikurangkan kepada RM22.20 berbanding RM23.64 sebelum ini, berdasarkan purata nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 18.2 kali.
“Meskipun pelarasan harga bahan api sejajar dengan pasaran global adalah perlu, kesannya terhadap volum jualan domestik PDB memang tidak dapat dielakkan dalam tempoh yang terdekat,” jelasnya.
Ia melihat prospek jangka pendek kumpulan itu terus dipengaruhi faktor dasar domestik dan tingkah laku pengguna, dengan risiko permintaan kekal menjadi kebimbangan utama pelabur. - DagangNews.com








