Haos Ek? berhasrat disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2028 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Haos Ek? berhasrat disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2028

KUALA LUMPUR 12 Feb (Bernama) - Syarikat Haos Berhad yang terkenal dalam pengeluaran jenama minuman tempatan Haos Ek? sedang cuba berkembang kepada pasaran eksport dan mengambil langkah ke arah penyenaraiannya di Bursa Malaysia menjelang 2028.
 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anis Permin melahirkan keyakinan terhadap rancangan pertumbuhan syarikat, dipacu sokongan berterusan kerajaan terhadap usahawan Bumiputera merentasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perniagaan berskala besar.
 

"Pasukan kami amat menghargai pelbagai agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri Johor atas sokongan serta bantuan yang tidak berbelah bahagi kepada Haos melalui pendekatan holistik," katanya yang juga pengasas syarikat berkenaan pada 1 Jun 2021 lalu.
 

Antara agensi terlibat ialah Perbadanan Nasional Bhd, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional, SME Corporation Malaysia, Bank Pembangunan Perusahaan Kecil Sederhana Malaysia Bhd, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd, dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
 

“Selain itu, agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Usahawan Johor Bhd dan Jabatan Pertanian Johor juga memainkan peranan penting dalam memastikan kami layak menerima pelbagai program bantuan yang disesuaikan dengan industri makanan dan minuman,” tambahnya.
 

Anis menekankan bahawa bantuan diterima oleh PMKS termasuk geran, pembiayaan, latihan, sumber pembangunan perniagaan, dan peluang bimbingan keusahawanan, yang seterusnya membantu meningkatkan keupayaan, mengembangkan pasaran, serta menangani cabaran dengan lebih yakin.
 

Justeru, beliau turut menekankan kepentingan usahawan mengambil kesempatan daripada pelbagai inisiatif kerajaan yang ada, sambil menyatakan bahawa Haos Ek telah mendapat banyak manfaat yang ketara daripada beberapa skim insentif sepanjang empat tahun beroperasi.
 

"Sebagai sebuah PMKS baharu yang komited dalam memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan, sumbangan ekonomi dan inovasi, kami berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada rantaian ekosistem ini yang disokong kukuh oleh bermacam-macam agensi kerajaan," katanya.
 

Beliau seterusnya berikrar komitmen syarikat itu untuk mempromosikan inisiatif kerajaan ini bagi memastikan lebih ramai usahawan PMKS yang baru meningkat naik untuk bersama-sama boleh mendapat manfaat daripadanya. - DagangNews.com