KUALA LUMPUR 4 Feb – Sinmah Capital Berhad memperoleh kelulusan untuk menukar nama kepada Rivertree STF Synergies Berhad, meskipun ada bantahan daripada hanya tiga pemegang sahamnya.
Keputusan majoriti tersebut dicapai dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan pelaburan dan pengurusan aset berkenaan yang diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur baru-baru ini.
Syarikat itu mengesahkan Resolusi Khas berhubung cadangan penukaran nama tersebut sudah diluluskan dengan sokongan hampir sebulat suara, apabila 18 pemegang saham mewakili 99.9974% undi menyokong.
"Bagaimanapun, masih ada sebilangan kecil yang menentang usul tunggal berkenaan, namun mereka itu hanya mewakili kira-kira 0.0026% undi," kata Sinmah Capital dalam maklumann kepada Bursa Malaysia.
Daripada segi jumlah jelasnya, sebanyak 171.96 juta saham mengundi menyokong cadangan tersebut, manakala cuma 4,400 saham diwakili oleh tiga pemegang saham tersebut menentang resolusi berkenaan.
Keputusan undian secara pungutan suara dalam EGM tersebut kemudian disahkan secara rasmi oleh firma Quantegic Services Sdn Bhd selaku pemeriksa bebas yang dilantik oleh syarikat itu sendiri.
Artikel berkaitan: Sinmah Capital berhasrat tukar lagi nama syarikat buat kali kelima kepada Rivertree STF Synergies
Penukaran nama buat kali kelima itu menandakan langkah penjenamaan semula Sinmah Capital, tetapi tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan pematuhan semua keperluan perundangan.
Menurut kumpulan yang ditubuhkan lebih 30 tahun itu, nama baharu tersebut sudah berjaya menerima kelulusan dan dimuktamadkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 24 Disember 2025.
Berdasarkan rekod sebelum ini, ia asalnya dikenali sebagai Iklim Sinar Sdn Bhd pada 26 Mei 1994, sebelum diubah pula namanya kepada Iklim Sinar Berhad apabila menjadi syarikat awam pada 21 Jun 1994.
Kumpulan berkenaan pernah ditukar nama kepada Sinmah Resources Berhad selepas penyenaraian pada 18 Mei 1995, di Papan Kedua sebelum diniagakan di Pasaran Utama berikutan perubahan struktur bursa.
Namanya diubah pula kepada Farm's Best Berhad pada 11 Jun 2005, mencerminkan fokus perniagaan berasaskan industri ternakan ayam, sebelum nama Sinmah Capital pada 1 Jun 2017. - DagangNews.com








