KUALA LUMPUR 8 Jan – Sinmah Capital Berhad mengumumkan hasratnya untuk menukar sekali lagi nama rasmi syarikat pembangunan dan pengurusan hartanah itu kepada Rivertree STF Synergies Berhad.
Menurut kumpulan yang ditubuhkan lebih 30 tahun itu, nama baharu tersebut sudah berjaya menerima kelulusan dan dimuktamadkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 24 Disember 2025.
Berdasarkan rekod sebelum ini, ia asalnya dikenali sebagai Iklim Sinar Sdn Bhd pada 26 Mei 1994, sebelum diubah pula kepada Iklim Sinar Berhad apabila menjadi syarikat awam pada 21 Jun 1994.
"Cadangan perubahan nama ini kini tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diumumkan kemudian," maklum Sinmah Capital kepada Bursa Malaysia.
Satu nota pekeliling akan diedarkan kepada semua pemegang sahamnya dengan butiran penuh mengenai cadangan perubahan nama yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi untuk menilai penerimaan mereka.
Kumpulan berkenaan pernah ditukar nama kepada Sinmah Resources Berhad selepas penyenaraian pada 18 Mei 1995, di Papan Kedua sebelum diniagakan di Pasaran Utama berikutan perubahan struktur bursa.
Selepas itu, namanya ditukar sekali lagi kepada Farm's Best Berhad pada 11 Jun 2005, yang mencerminkan fokus perniagaannya berasaskan industri ternakan ayam, sebelum nama sekarang pada 1 Jun 2017.
"Sekiranya mendapat kelulusan pada EGM, perubahan nama buat kali kelima itu akan berkuat kuasa selepas tarikh notis pendaftaran nama baharu oleh SSM dikeluarkan kepada syarikat," kata Sinmah Capital.
Pengumuman berkenaan menandakan langkah awal kumpulan tersebut dalam transformasi korporat dan penjenamaan semula selaras dengan perubahan ekonomi semasa. - DagangNews.com








