KUALA LUMPUR 11 Mac - Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG Berhad, Datuk Abu Hanifah Noordin yang sebelum ini digantung sementara peranannya, telah dikembalikan kuasa dan fungsi berkuat kuasa serta-merta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarah syarikat memberitahu keputusan pemulihan kuasa eksekutif dibuat selepas pertimbangan lanjut oleh Lembaga dan mengambil kira kemajuan terkini dalam proses semakan tersebut.
Susulan pemulihan kuasa dan fungsi itu, dalam pemakluman berasingan, NexG mengumumkan peletakkan jawatan empat Pengarah iaitu Kunal Tayal, Mohd Zafil Ibrahim, Syed Farid Syed Ahmad Al-Attas dan Aswath RamaKrishnan.
Turut meletak jawatan dua pengarah bebas, Mohamed Fairuz Mohamed Fauzy dan Badrul Hisham Abdul Aziz.
Dua keahlian Jawatankuasa Pengurusan Risiko dan Audit (ARMC) turut dikosongkan susulan peletakan jawatan Mohamed Fairuz dan Aswath.
“Lembaga Pengarah menegaskan bahawa NEXG kekal komited terhadap prinsip tadbir urus korporat yang kukuh, akauntabiliti dan ketelusan, serta memastikan proses semakan dijalankan mengikut prosedur dan amalan operasi standard syarikat,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu Abu Hanifah Noordin telah memohon perintah injunksi terhadap lembaga pengarah syarikat itu berikutan keputusan dan tindakan yang diambil sebelum Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan pada 3 April.
Abu Hanifah bersama pemegang saham Siti Nur Aishah Ishak menamakan NexG dan tujuh pengarahnya sebagai defendan, termasuk Syed Farid Syed Ahmad Al-Attas, Kunal Tayal, Aswath Ramakrishnan, Mohd Zafil Ibrahim, Mohamed Fairuz Mohamed Fauzy dan Badrul Hisham Abdul Aziz.
Menurut pemakluman NexG di Bursa Malaysia tersebut, tindakan undang-undang bertarikh 9 Mac itu diserahkan kepada syarikat tersebut pada 10 Mac.
Abu Hanifah mendakwa penggantungan kuasa eksekutifnya adalah sebagai tindak balas terhadap beliau yang membantah cadangan lembaga pengarah untuk memberikan subkontrak kontrak kerajaan syarikat itu kepada pihak ketiga. - DagangNews.com








