KUALA LUMPUR 12 Feb - Bank digital Malaysia, GXBank, melancarkan tawaran GX FlexiCredit kepada semua rakyat Malaysia, membolehkan pelanggan mengakses dana mengikut had yang diluluskan, memberikan rumusan kewangan yang mudah untuk perbelanjaan yang tidak dijangka atau pembelian yang dirancang.
Produk itu yang direka sebagai garis kredit fleksibel, menyediakan akses segera kepada dana, dengan proses permohonan yang hanya mengambil masa lima minit.
Pelanggan yang permohonannya diluluskan, boleh menerima had kredit sehingga RM150,000, dengan proses pengeluaran yang dilakukan dalam beberapa saat.
Produk tersebut menawarkan terma pembayaran balik yang fleksibel sehingga 60 bulan, tanpa yuran penyelesaian awal atau yuran pemprosesan.
Kadar faedah bermula dari 3.88% setahun (EIR 6.62% setahun), tertakluk kepada kelayakan.
Caj lewat sebanyak 1% dikenakan ke atas jumlah yang tertunggak.
Pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 21 hingga 64 tahun dengan pendapatan tahunan minimum RM18,000.
Individu bergaji perlu mengemukakan penyata KWSP dua tahun dengan caruman berturut-turut selama enam bulan.
Sementara itu, pemohon yang bekerja sendiri perlu menyediakan penyata bank perniagaan selama enam bulan yang dimuat turun dari portal rasmi bank mereka.
Pengguna GXBank sedia ada boleh memohon melalui aplikasi mudah alih bank, manakala pengguna baharu perlu membuka akaun simpanan terlebih dahulu sebelum mengakses produk kredit tersebut.
Setelah diluluskan, pelanggan boleh mengeluarkan dana pada bila-bila masa melalui aplikasi, dengan pembayaran balik disusun mengikut keperluan kewangan mereka.
Untuk mengeluarkan dana, pengguna perlu terlebih dahulu mengaktifkan had kredit yang telah diluluskan.
Kemudian, mereka perlu memilih pilihan 'Drawdown' pada papan pemuka FlexiCredit, masukkan jumlah wang dan tempoh masa bayaran dan mengesahkan tarikh pembayaran balik bulanan mereka.
FlexiCredit juga membolehkan beberapa pengeluaran dalam had kredit yang tersedia.
Setiap kali pembayaran dilakukan, had kredit akan ditambah semula, membolehkan pelanggan mengakses dana lagi tanpa perlu membuat permohonan baharu.
Maklumat lanjut tentang kelayakan, terma pembayaran dan yuran boleh didapati dalam aplikasi GXBank. - DagangNews.com








