GUH Holdings kemukakan surat tuntutan terhadap pentadbir laman Facebook berhubung kenyataan fitnah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GUH Holdings kemukakan surat tuntutan terhadap pentadbir laman Facebook berhubung kenyataan fitnah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Mac - GUH Holdings Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, GUH Properties Sdn Bhd telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) terhadap dua individu atau pentadbir laman Facebook susulan penyiaran kenyataan berunsur fitnah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata surat tuntutan bertarikh 19 Mac 2026 dan 20 Mac 2026 telah dikemukakan melalui peguamcara mereka berhubung beberapa hantaran di Facebook yang mengandungi tuduhan tidak berasas terhadap kumpulan tersebut.

 

Menurut GUH, pihaknya dimaklumkan mengenai hantaran bertarikh 16 Mac dan 17 Mac 2026 yang mengandungi pelbagai dakwaan palsu, tidak berasas serta mengelirukan, termasuk cubaan mengaitkan kumpulan itu dengan aktiviti yang didakwa menyalahi undang-undang dan tidak beretika, selain mengaitkannya dengan entiti serta projek yang tidak berkaitan.

 

“Pihak kumpulan dengan tegas menafikan semua tuduhan tersebut,” katanya.

 

GUH turut menegaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang hubungan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dahulu atau kini, dengan mana-mana entiti dikenali sebagai Kepayang Heights Sdn Bhd, dan sebarang dakwaan yang mengaitkan mereka adalah tidak benar serta mengelirukan.

 

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menuntut pihak terlibat supaya segera memadam semua hantaran berunsur fitnah dan penerbitan berkaitan, menghentikan sebarang kenyataan fitnah selanjutnya serta mengeluarkan permohonan maaf awam tanpa syarat dan penarikan balik kenyataan tersebut.

 

Lembaga pengarah berpandangan bahawa setakat ini, isu berkenaan tidak memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan.

 

GUH menegaskan akan mengambil semua tindakan undang-undang yang perlu bagi melindungi reputasi, kepentingan perniagaan serta pemegang taruhnya, sambil memberi jaminan bahawa operasi syarikat kekal berjalan seperti biasa. - DagangNews.com