KUALA LUMPUR 28 Mac - GUH Holdings Bhd menerusi GUH eBattery Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Rich Court Estate Sdn Bhd bagi pembelian tanah seluas 27.23 hektar berharga RM71.76 juta di Semenyih, Selangor bagi meningkatkan jumlah bank tanahnya.
Kumpulan itu berkata, pembelian tanah itu bukan sahaja boleh mengembangkan bank tanah kumpulan tetapi juga meningkatkan liputan ke kawasan lain di Lembah Klang.
Katanya, ia juga membolehkan kumpulan meningkatkan pendapatan masa hadapan dengan memanfaatkan kekuatannya dalam industri hartanah dan prospek pasaran semasa negara.
"Pasaran hartanah meneruskan momentum pertumbuhannya, disokong prestasi urus niaga yang positif dalam semua subsektor.
"Pertumbuhan yang menggalakkan dalam aktiviti pembinaan, dan prestasi yang menggalakkan dalam pasaran hartanah, walaupun menghadapi cabaran berterusan dalam ekonomi global dan persekitaran luaran," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Cadangan pengambilalihan dijangka tidak memberi kesan material ke atas aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Pembelian itu dijangka meningkatkan aset bersih GUH pada masa hadapan memandangkan potensi sumbangan keuntungan masa depan yang timbul daripada cadangan pembangunan tanah tersebut.
"Melainkan sebarang keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperlukan diperolehi, lembaga pengarah menjangkakan pengambilalihan itu akan selesai pada suku kedua 2025," katanya.- DagangNews.com








