KUALA LUMPUR 27 Mac - Dalam usaha mempercepat peralihan kenderaan elektrik (EV) di sektor pengangkutan di Malaysia, Grab Malaysia menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat terkemuka bagi melaksanakan matlamat tersebut.
Antara syarikat terlibat adalah BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies (M) dan Power-Up Tech (P.UP).
Kerjasama itu bertujuan menggalakkan penggunaan EV dan menyediakan kemudahan EV yang senang diakses untuk rakan pemandu Grab, sambil mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada ekonomi hijau Malaysia.
Kos permulaan yang tinggi telah menjadi halangan utama kepada penggunaan EV di Asia Tenggara.
Justeru, melalui perkongsian strategik tersebut, Grab berhasrat untuk mempercepat peralihan kenderaan elektrik dalam sektor pengangkutan dengan menawarkan akses kepada EV pada kadar kompetitif kepada rakan kongsi kenderaan dan rakan pemandu.
Selain itu, kerjasama berkenaan juga akan menyepadukan EV ke dalam platform Grab, termasuk perancangan untuk melancarkan perkhidmatan e-hailing EV, harga kereta eksklusif dan kadar sewaan istimewa kepada rakan pemandu Grab.
Ia juga akan menyediakan kemudahan EV yang menyeluruh untuk rakan pemandu, kemudahan pengecasan strategik, sesi latihan dan sokongan penyelenggaraan.
Pengarah Operasi dan Pengangkutan Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, melalui kerjasama itu, pihaknya bukan sahaja menyokong agenda kelestarian Malaysia, tetapi juga memperkasa rakan pemandu dengan akses kepada alternatif yang lebih hijau.
"Dengan bekerjasama bersama peneraju industri utama, kami berhasrat untuk mempercepat penggunaan EV dan memacu manfaat jangka panjang untuk komuniti dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak-pihak berkaitan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Liew Chin Tong.
Grab Malaysia kekal komited untuk mempercepat pertumbuhan ekosistem EV Malaysia.
Dengan kerjasama kerajaan dan rakan industri, Grab Malaysia berhasrat untuk memacu sektor pengangkutan sambil membolehkan rakan pemandu beralih kepada EV dengan lancar.
Inisiatif itu menggariskan usaha berterusan Grab Malaysia untuk menyokong matlamat kelestarian nasional dan membina masa depan yang lebih bersih dan hijau. - DagangNews.com








