Globaltech Formation mulakan operasi penggerudian telaga TE-B06001 di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Globaltech Formation mulakan operasi penggerudian telaga TE-B06001 di Indonesia

KUALA LUMPUR 26 Mei — Globaltech Formation Bhd (Glotec) menerusi NuEnergy Gas Ltd telah memulakan operasi penggerudian telaga TE-B06001 di kawasan Rancangan Pembangunan 1 Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Tanjung Enim, Sumatera Selatan.

 

Telaga tersebut terletak kira-kira 218 kilometer dari Palembang, merupakan projek arang batu metana (CBM) komersial pertama di Indonesia dan juga bagi NuEnergy.

 

Penggerudian telaga TE-B06001 dimulakan pada 25 Mei menggunakan pelantar hidraulik khas yang diubah suai.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NuEnergy menyatakan telaga itu adalah pertama daripada empat telaga CBM yang dirancang di bawah Inisiatif Jualan Gas Awal, dengan sasaran jualan awal satu juta kaki padu standard gas sehari (mmscfd).

 

"Telaga TE-B06001 akan digerudi secara menegak sehingga 463 meter, menyasarkan beberapa lapisan arang batu antara 288 meter hingga 400 meter.

 

"Ia akan disiapkan menggunakan kaedah open-hole, iaitu teknik terbukti berkesan untuk pemulihan gas dalam formasi CBM," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

NuEnergy berkata, kempen penggerudian itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membekalkan tenaga bersih dan mampan, selari strategi bekalan gas domestik Indonesia.

 

Kejayaan pelaksanaan telaga TE-B06001 bakal menjadi asas pembangunan seterusnya di bawah Tanjung Enim POD 1, sekali gus mengesahkan potensi komersial aset CBM syarikat.

 

Tanjung Enim POD 1 meliputi kawasan seluas 33 kilometer persegi atau 13% daripada keseluruhan kawasan PSC, dengan perancangan pengeluaran 25 mmscfd dan rizab 164.89 bilion kaki padu standard gas, yang diperakui Pusat Penyelidikan dan Teknologi Gas dan Minyak Indonesia.

 

Sebagai pembangunan CBM berskala komersial pertama negara itu, ia disifatkan langkah strategik ke arah matlamat peralihan tenaga melalui sumber gas tidak konvensional yang lebih bersih.

 

Pengerusi NuEnergy, Bernard Kong berkata, telaga  itu menandakan permulaan fasa transformasi penting buat syarikat dan sektor gas Indonesia.

 

"Dengan sokongan pengawal selia dan komuniti setempat, kami yakin dapat melaksanakan projek ini mengikut piawaian alam sekitar dan operasi," katanya.

 

Projek itu telah diluluskan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia Julai 2021.- DagangNews.com