GIIB nafi ada perkembangan baharu, tiada faktor jelas punca saham naik mendadak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GIIB nafi ada perkembangan baharu, tiada faktor jelas punca saham naik mendadak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jun – GIIB Holdings Berhad memaklumkan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad tiada sebarang perkembangan korporat baharu di sebalik lonjakan mendadak harga dan peningkatan volum dagangan saham syarikat itu baru-baru ini.

 

Penjelasan itu dibuat susulan pertanyaan Bursa Malaysia berhubung aktiviti pasaran luar biasa (UMA) yang dikesan pada saham syarikat tersebut.

 

Dalam maklum balas tersebut, GIIB berkata Lembaga Pengarah telah membuat semakan dalaman bersama pengarah, pemegang saham utama serta pihak berkaitan bagi mengenal pasti sebarang faktor yang mungkin mempengaruhi pergerakan saham.

 

“Setakat ini tiada sebarang perkembangan korporat baharu yang diumumkan selain cadangan pelaburan dalam perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan yang sebelum ini telah dimaklumkan kepada Bursa Malaysia.

 

“Namun, cadangan pelaburan tersebut masih berada pada peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan dari segi terma serta struktur pelaburan.

 

“Sebarang perkembangan material berkaitan cadangan berkenaan akan diumumkan kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat keputusan muktamad, selaras dengan keperluan penyenaraian pasaran utama,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lonjakan saham GIIB lebih 500% tahun ini, Bursa Malaysia persoal kenaikan luar biasa

 

GIIB turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengetahui sebarang khabar angin, laporan atau spekulasi pasaran yang boleh dikaitkan dengan aktiviti dagangan luar biasa tersebut.

 

Lembaga pengarah juga mengesahkan  tiada faktor lain yang diketahui yang boleh menjelaskan peningkatan ketara dalam harga dan jumlah dagangan saham syarikat.

 

Dalam masa sama, GIIB menegaskan bahawa syarikat kekal mematuhi semua keperluan pendedahan segera di bawah peraturan Bursa Malaysia, khususnya berkaitan kewajipan pengumuman maklumat material.

 

Pada sesi tengah hari, saham GIIB susut 0.5 sen atau 1.06% kepada 46.5 sen selepas mencatat kenaikan ketara dalam beberapa sesi terdahulu.

 

Namun, kaunter berkenaan masih mencatat lonjakan lebih 17% dalam tempoh lima hari dagangan dan meningkat sekitar 481% sejak awal tahun, menjadikannya antara saham paling aktif diperdagangkan di Bursa Malaysia. - DagangNews.com