Lonjakan saham GIIB lebih 500% tahun ini, Bursa Malaysia persoal kenaikan luar biasa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lonjakan saham GIIB lebih 500% tahun ini, Bursa Malaysia persoal kenaikan luar biasa

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jun – GIIB Holdings Bhd menerima pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia selepas harga saham syarikat itu melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih lima tahun.

 

Bursa Malaysia meminta pengeluar sebatian getah itu menjelaskan punca kenaikan mendadak harga saham dan aktiviti dagangan kaunternya sejak kebelakangan ini.

 

Pengawal selia pasaran itu turut meminta GIIB mengesahkan sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat yang belum diumumkan, khabar angin pasaran atau faktor lain yang menyumbang kepada pergerakan luar biasa saham syarikat berkenaan selain memastikan pematuhan terhadap keperluan penyenaraian.

 

Pada penutupan dagangan 4 Jun 2026, saham GIIB meningkat 2.5 sen atau 5.62% kepada 47 sen sesaham, iaitu paras tertinggi dalam tempoh lebih lima tahun dengan sebanyak 46.24 juta saham diniagakan sepanjang sesi dagangan.

 

Sejak awal tahun ini, saham GIIB melonjak kira-kira 526.7%, manakala dalam tempoh lebih sebulan sejak 30 April lalu, kaunter itu meningkat sekitar 327.3% daripada harga 11 sen sesaham.

 

Pada harga semasa, syarikat itu mempunyai nilai pasaran kira-kira RM336.3 juta.

 

Ini bukan kali pertama GIIB menerima pertanyaan UMA daripada Bursa Malaysia apabila syarikat itu turut menerima pertanyaan sama kira-kira sebulan lalu susulan kenaikan ketara harga sahamnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Saham GIIB melonjak 50%: Bursa Malaysia minta penjelasan ketika juruaudit dedah risiko

 

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan terdahulu, GIIB memaklumkan syarikat itu sedang menilai potensi pelaburan dalam perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan yang dilihat antara faktor mencetuskan sentimen positif dalam kalangan pelabur.

 

Berdasarkan pemfailan terkini syarikat, Mega Fortris Global Pte Ltd muncul sebagai pemegang saham utama GIIB pada 20 Mei lalu selepas melanggan pegangan sebanyak 9.09% dalam syarikat tersebut.

 

Pada masa sama, syarikat pelaburan berpangkalan di Singapura, HAGF Investment (I) Pte Ltd tidak lagi menjadi pemegang saham utama selepas mengurangkan pegangannya pada 18 Mei lalu.

 

Sebelum itu, syarikat berkenaan memiliki pegangan sebanyak 16.56% setakat 25 April 2026.

 

Bagaimanapun, kenaikan mendadak saham GIIB berlaku di sebalik kebimbangan terhadap kedudukan kewangan syarikat selepas juruaudit pada akhir April lalu memberi amaran mengenai ketidakpastian material terhadap keupayaan syarikat untuk terus beroperasi.

 

Juruaudit turut membangkitkan beberapa isu termasuk kerugian berterusan, aliran tunai operasi negatif serta ketidakpadanan antara liabiliti jangka pendek dengan aset semasa.

 

Bagi tempoh 18 bulan berakhir 31 Disember 2025, GIIB merekodkan kerugian bersih RM24.5 juta, sebahagiannya disebabkan rosot nilai penghutang berjumlah RM17.7 juta, dengan hasil sebanyak RM59.6 juta. - DagangNews.com