KUALA LUMPUR 12 Jun – George Kent (Malaysia) Bhd menandatangani kerjasama strategik dengan Qingdao Topscomm Communication Co Ltd dari China bagi membangunkan GK Ultra, meter air ultrasonik pintar pertama berjenama tempatan.
Perjanjian dimeterai pada 10 Jun di ibu pejabat Topscomm di Qingdao, menandakan permulaan rasmi pakatan jangka panjang antara kedua-dua syarikat.
GK Ultra dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa dan dijangka menyumbang kepada pendigitalan industri utiliti negara, seiring aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Meter pintar itu merupakan inisiatif sulung GK SuperTech Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh George Kent yang diumumkan pada 24 Februari lalu bagi membangunkan rumusan utiliti pintar generasi baharu.
Kerjasama itu menggabungkan pengalaman industri George Kent selama lebih 80 tahun dengan kepakaran teknologi Topscomm dalam bidang pemeteran pintar.
Topscomm merupakan syarikat tersenarai di Bursa Saham Shanghai.
Pengerusi Eksekutif George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock berkata, GK Ultra menandakan detik penting dalam evolusi George Kent daripada jenama kebangsaan kepada pemain teknologi global.
"Kami berbangga menghasilkan produk yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta menyokong kelestarian infrastruktur pelanggan di seluruh dunia.
"GK Ultra dijangka menawarkan ketepatan sehingga empat kali ganda berbanding meter air mekanikal konvensional, lebih tahan lama dan dilengkapi ciri sambungan digital melalui teknologi ultrasonik tanpa komponen bergerak," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Topscomm, Liu Min berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan George Kent dalam usaha membawa teknologi pemeteran canggih ke pasaran Malaysia dan antarabangsa.
"Kami komited mentransformasikan operasi utiliti air melalui infrastruktur pintar yang menyokong kecekapan, ketelusan, dan kelestarian," katanya.
Ia turut dilengkapi keupayaan Internet Kebendaan (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi pemantauan data masa nyata, bacaan meter jarak jauh, pengesanan kebocoran serta penyelenggaraan ramalan.
Produk itu menyasarkan pengguna domestik dan global, sejajar unjuran Research Nester Analytics LLC yang menjangkakan pasaran meter air ultrasonik pintar global berkembang daripada AS$3.85 bilion (RM18.1 bilion) pada 2024 kepada AS$9.65 bilion (RM45.4 bilion) menjelang 2037.
George Kent dan GK SuperTech kini berada dalam kedudukan strategik untuk memperluas pasaran GK Ultra di peringkat global, sekali gus memacu pertumbuhan mampan serta transformasi digital dalam sektor utiliti.- DagangNews.com








