Geohan menang dua projek Sunway bernilai RM32.2 juta di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Geohan menang dua projek Sunway bernilai RM32.2 juta di Johor

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Jan – Geohan Corporation Berhad menerima dua Surat Anugerah (LOA) berasingan daripada anak syarikat Sunway Group dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM32.2 juta.

 

Ini sekali gus menandakan perolehan projek pertama kumpulan itu bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), kata Geohan dalam satu kenyataan.

 

Pencapaian terbaharu itu menyusuli kejayaan Geohan memperoleh projek Astaka Arden Residence dan Causewayz Square @ JBCC pada FY2025, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran strategiknya di Johor ketika negeri itu menyaksikan peningkatan aktiviti pembangunan.

 

LOA pertama dianugerahkan oleh Sunway Majestic Sdn Bhd, melibatkan kerja-kerja cerucuk serta dinding penahan cerucuk gerudi bersebelahan bagi pembangunan SOHO setinggi 46 tingkat di Johor Bahru.

 

Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada Februari 2026 dan dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh permulaan.

 

LOA kedua pula diterima daripada Sunway City (JB) Sdn Bhd, melibatkan kerja-kerja cerucuk gerudi bagi tiga blok pangsapuri perkhidmatan setinggi 47 tingkat di Plentong, Johor.

 

Kerja pembinaan juga dijadualkan bermula pada Februari 2026 dan dijangka disiapkan dalam tempoh lapan bulan.

 

Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata, penganugerahan kontrak berkenaan mencerminkan keyakinan berterusan Sunway Group terhadap keupayaan dan kebolehpercayaan kerja-kerja cerucuk yang dilaksanakan oleh syarikat itu, di samping mengukuhkan buku pesanan serta saluran projek Geohan bagi FY2026. - DagangNews.com