KUALA LUMPUR 8 Mei – Gentari menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa Solar (PPA) dengan Telekom Malaysia (TM) untuk membekalkan tenaga solar kepada enam kemudahan utama TM.
Perjanjian itu merupakan kerjasama lebih luas antara TM, Petronas dan Gentari yang bertujuan mempercepatkan proses pengurangan jejak karbon aset TM di Malaysia.
Gentari merancang, memasang, dan mengendalikan sistem solar yang menghasilkan 4.3 MWp kuasa solar dan menjana 4.82 GWh setahun, yang mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 3.65 juta tan.
Kemudahan tempat yang mendapat bekalan tenaga solar termasuk pusat data TM di Cyberjaya dan Iskandar Puteri, Kompleks R&D TM di Cyberjaya, Stesen Kabel Dasar Laut (SKDL) TM di Mersing, serta kampus Universiti Multimedia di Cyberjaya dan Melaka.
Kerjasama itu adalah sebahagian daripada komitmen TM untuk mencapai sasaran pelepasan sifar menjelang 2050, dengan memperkenalkan lebih banyak inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE).
Pemasangan solar di kampus TM juga menyokong inisiatif kampus hijau di Malaysia, dengan Gentari turut terlibat dalam pemasangan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).
Ketua Pegawai Tenaga Boleh Diperbaharui Gentari, Low Kian Min berkata, PPA itu merupakan pencapaian penting dalam usaha pengurangan jejak karbon TM dan mengukuhkan kedudukan Gentari sebagai penyedia rumusan tenaga bersih di Malaysia.
"Gentari turut menetapkan visi untuk menjadi rakan rumusan tenaga bersih yang paling dihargai di Asia Pasifik menjelang 2030, dengan menyumbang kepada matlamat Net Zero negara," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Korporat TM, Nor Fadhilah Mohd Ali berkata, Kerjasama tersebut memberi akses kepada teknologi tenaga hijau terkini dan turut menggalakkan amalan lestari dalam tenaga kerja TM.
"Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi TM sebagai Digital Powerhouse dan mencapai matlamat keselamatan tenaga," katanya.
Gentari kini sedang membina dan telah memasang kapasiti RE sebanyak 8 GW di Malaysia, India, dan Australia.- DagangNews.com








