KUALA LUMPUR 27 Feb - Genetec Technology Bhd mencatat hasil sebanyak RM62.6 juta dengan untung bersih melebihi RM6 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir pada 2025 (2QFY25).
Penyedia rumusan automasi berkata, prestasi kewangan pada suku tersebut dibantu oleh pelaksanaan pesanan tertunggak dan pesanan pelanggan baharu.
Mengulas tentang prestasi kewangan pada suku itu, Pengasas bersama dan Pengarah Urusan Genetec, Chin Kem Weng menekankan strategi kumpulan iaitu mempelbagaikan skop dan perkhidmatan bagi mengekalkan pelanggan semasanya dan menarik pelanggan baharu.
"Selain itu, kami amat percaya pada kepelbagaian yang bermakna dan kekal komited untuk mengukuhkan kehadiran kami dengan pelanggan utama kami dan memanfaatkan peluang yang muncul.
"Kami berbangga dengan pendekatan yang mengutamakan pelanggan kami, yang merupakan sebahagian daripada cara kami menjalankan perniagaan dan cara kami melaksanakan setiap projek," katanya.
Genetec menjangkakan momentum pertumbuhannya akan dipercepatkan dengan tempahan baharu yang diperoleh daripada segmen baharu untuk pelanggan Amerika Utaranya, yang menandakan kejayaan pengembangan syarikat melangkaui pemasangan bateri.
Bagi perniagaan sistem storan tenaga bateri (BESS), Genetec terus terlibat secara aktif dalam tender dan semakin mendapat daya tarikan apabila Syarikat terus melaksanakan dan membina rekod prestasinya daripada projek-projek penting secara strategik yang boleh membuka jalan kepada peluang yang lebih besar.
Kem Weng berkata, apabila peralihan tenaga semakin pantas, BESS memainkan peranan penting dalam kedua-dua penyepaduan tenaga boleh diperbaharui dan landskap pusat data yang berkembang.
"Ini memberikan peluang besar kepada Genetec untuk memanfaatkan ledakan pusat data dan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pusat data di rantau ini.
"Dengan keupayaan pelaksanaan yang kukuh dan rekod prestasi antarabangsa yang terbukti, syarikat kami berada pada kedudukan yang baik untuk berjaya dalam pasaran yang semakin berkembang ini.
"Secara keseluruhannya, kami sentiasa optimistik dengan pertumbuhan berterusan sektor kenderaaan elektrik (EV) & Penyimpanan Tenaga (ES) sambil mengharungi landskap ekonomi global yang semakin berkembang," katan - DagangNews.com








