KUALA LUMPUR 8 April — Meskipun gencatan senjata sementara dicapai hari ini, gangguan serius ke atas infrastruktur tenaga global dijangka terus mengekalkan harga minyak mentah pada paras tinggi.
Menurut analisis UOB Global Economics and Markets Research, harga minyak penanda aras Brent berkemungkinan terus berlegar sekitar AS$100 (kira-kira RM397) setong dalam jangka masa yang terdekat.
Perkembangan tersebut jelas firma penyelidikan itu, disokong faktor kekangan bekalan fizikal dan masalah logistik yang masih lagi berlarutan sejak konflik di Timur Tengah mula meletus pada 28 Februari 2026.
"Sebahagian besar infrastruktur tenaga di rantau itu termasuk loji penapisan, saluran paip dan pelabuhan mengalami kerosakan serius, sehingga memerlukan tempoh pembaikan lebih lama," tambahnya.
Justeru ujar UOB dalam notanya, walaupun terdapat gencatan senjata selama tempoh dua minggu, gangguan terhadap pasaran tenaga fizikal global dijangka masih berterusan untuk beberapa bulan lagi.
Tambahnya, situasi lebih rumit apabila ratusan kapal tangki minyak dilaporkan masih terkandas di laluan Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira 20% aliran minyak dan gas asli cecair dunia.

Selain itu katanya, sebahagian kapal tersebut sudah dialihkan ke pelabuhan di Laut Merah seperti Yanbu, sekali gus menjejaskan keupayaan operasi kembali ke laluan utama dalam tempoh singkat.
"Peningkatan secara ketara premium insurans perkapalan menjadi faktor tambahan yang mengehadkan pergerakan kapal di perairan itu, sekali gus mengekang pemulihan rantaian bekalan," jelas UOB.
Harga Brent sebelum ini melonjak sehingga AS$120 (RM477) setong pada akhir Mac, paras tertinggi sejak 2022, susulan konflik, sebelum susut di bawah AS$100 selepas pengumuman gencatan senjata.
Setakat ini kata firma penyelidikan berkenaan, harga minyak mentah jenis itu didagangkan sekitar AS$93.69 (kira-kira RM372.70) setong, sebagai reaksi segera susulan persetujuan gencatan tersebut.
Bagi unjuran seterusnya pula, UOB masih mengekalkan jangkaan harga Brent pada AS$110 (RM437.59) setong bagi suku kedua 2026, sebelum kembali sederhana kepada AS$100 pada tempoh suku ketiga.
"Harga dijangka terus menurun kepada sekitar AS$90 (RM358) setong menjelang suku keempat 2026 dan suku pertama 2027 apabila gangguan bekalan global beransur pulih," katanya. - DagangNews.com








