KUALA LUMPUR 19 Mac - GDB Holdings Berhad (GDB) mengukuhkan kedudukannya dalam segmen infrastruktur apabila meraih kontrak bernilai RM115.5 juta bagi pembinaan sebuah loji rawatan air baharu di Daerah Song, Bahagian Kapit, Sarawak.
Dalam kenyataan media, kumpulan itu berkata, projek berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, GDB Infra Sdn Bhd, yang dilantik sebagai subkontraktor oleh Pembinaan JBS Sdn Bhd.
Skop kerja merangkumi pembinaan, pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian serta pentauliahan loji berkenaan, termasuk kerja ukur, pembersihan tapak, pemasangan paip, kemudahan pengambilan air hujan serta sistem mekanikal dan elektrikal secara turnkey.
Projek tersebut dijadualkan bermula pada Mac 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.
Pengarah Eksekutif merangkap Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan, Andy Lai Wee Young berkata, kontrak itu merupakan pencapaian signifikan kerana ia menandakan pengembangan portfolio GDB ke dalam segmen loji rawatan air.
“Projek ini bukan sahaja memperluaskan kepakaran kami, malah membolehkan kami menyumbang kepada pembangunan infrastruktur penting yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat,” katanya.
Menurut beliau, bagi menyokong pertumbuhan projek di Malaysia Timur, GDB telah membuka pejabat serantau di Kuching, Sarawak yang kini beroperasi, selain merancang menubuhkan pejabat di Kota Kinabalu, Sabah menjelang Jun 2026.
Langkah itu dijangka memperkukuh keupayaan pengurusan projek serta memastikan pelaksanaan projek yang lebih cekap dan menepati jadual.
Kontrak terbaharu ini meningkatkan nilai buku pesanan tertunggak kumpulan kepada RM785.7 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan sehingga 2029.
Selain pengembangan di Malaysia Timur, GDB turut meneruskan pelaksanaan beberapa projek bernilai tinggi di Semenanjung Malaysia, termasuk pembangunan gudang logistik Metrohub 4 di Klang, Logistics Hub Plot B di Shah Alam serta Hospital Tertiari Antarabangsa di KL Wellness City, Kuala Lumpur. - DagangNews.com








