KUALA LUMPUR 18 Mac — Gas Malaysia Berhad menerima surat kebenaran meneruskan (LTP) pembangunan terminal regasifikasi gas asli cecair (LNG) di Yan, Kedah, dianggarkan bernilai RM3 bilion.
Syarikat tersebut berkata LTP yang diterima daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) membolehkan projek ini memasuki fasa seterusnya termasuk kerja kejuruteraan terperinci, penyediaan tapak dan pembiayaan.
Projek yang dikenali sebagai RGT Yan itu dibangunkan sebagai kemudahan luar pesisir berkonsepkan Floating Storage and Regasification Unit (FSRU) dengan kapasiti kira-kira 6 juta tan setahun (MTPA).
"Projek itu terletak berhampiran barat Pulau Bunting dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan selepas siap dan mula beroperasi kelak," maklum Gas Malaysia kepada bursa.
Bagaimanapun, syarikat menjelaskan LTP itu bukan merupakan komitmen pelaburan muktamad dan masih tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan oleh ST dalam tempoh masa ditetapkan nanti.
Dari segi kesan kewangan, LTP berkenaan jelasnya, tidak dijangka memberi sebarang impak material secara serta-merta kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utama kumpulan tersebut.
Gas Malaysia turut memaklumkan bahawa tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama yang dikenal pasti mempunyai sebarang kepentingan langsung atau sebaliknya dalam projek tersebut.
"Risiko projek adalah terhad kepada faktor biasa seperti pelaksanaan pembinaan, operasi teknikal serta perubahan keadaan ekonomi dan pasaran, dan langkah mitigasi sewajarnya diambil," katanya.
Lembaga pengarah berpandangan penerimaan LTP itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat, manakala sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. - DagangNews.com








