KUALA LUMPUR 26 Jun – Gas Malaysia Bhd meterai kerjasama strategik dengan syarikat teknologi iklim Britain, Levidian bagi meneroka pelaksanaan teknologi hidrogen bersih LOOP ke Malaysia dan rantau ini secara meluas.
Syarikat itu berkata, sistem modular LOOP mampu menukar metana kepada hidrogen bersih sambil menangkap karbon sebagai bahan berkualiti tinggi yang semakin digunakan dalam sektor automotif, bateri, dan pembinaan.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, kerjasama dengan Levidian merupakan langkah penting dalam usaha penyahkarbonan syarikat dan mencapai masa depan yang lestari.
"Kami berhasrat meningkatkan nilai gas asli, mempelbagaikan aliran hasil dan memperkukuh agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selari dengan peralihan tenaga negara.
"Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memasang unit LOOP di Malaysia sebagai projek perintis sebelum diperluas ke peringkat serantau," katanya dalam satu kenyataan.
Langkah itu turut menyokong strategi GM32 syarikat untuk mempelbagaikan sumber tenaga lebih bersih, selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang mengiktiraf karbon sebagai bahan termaju utama.
Gas Malaysia, anak syarikat MMC, mengendalikan sistem gas terawat bagi membekalkan gas asli dan Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada kediaman, komersial, dan industri.- DagangNews.com








