KUALA LUMPUR 18 Mei - Gas Malaysia Bhd (Gas Malaysia) dijangka memperoleh peningkatan penilaian sekitar RM0.80 sesaham menerusi pembangunan projek terminal regasifikasi gas asli cecair (RGT) Yan di Kedah, menurut CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut dibuat berdasarkan andaian syarikat akan memiliki pegangan 50% dalam projek usaha sama (JV) berkenaan, dengan sokongan infrastruktur tetap melibatkan perbelanjaan modal (capex) sekitar AS$500 juta.
Selain itu, projek tersebut turut mengambil kira penggunaan unit simpanan dan regasifikasi terapung (FSRU) yang disewa pada kadar AS$175,000 sehari serta tarif regasifikasi sebanyak RM3.65 setiap GJ sehari.
"Berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) dengan kadar diskaun purata wajaran kos modal (WACC) 8.6% dan pertumbuhan jangka panjang 1.5%, projek itu dijangka memberi nilai tambah sekitar RM0.80 sesaham yang telah dimasukkan dalam harga sasaran penganalisis.
"Bagaimanapun, penganalisis berkata unjuran tersebut masih tertakluk kepada pendedahan lanjut oleh pihak pengurusan serta struktur pegangan akhir selepas keputusan pelaburan muktamad (FID) dimuktamadkan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setakat ini, Gas Malaysia bersama Tokyo Gas Co Ltd dan VTTI B.V. telah menandatangani perjanjian pembangunan bersama (JDA) bagi fasa awal projek RGT Yan dengan struktur pegangan 70:15:15 bagi fasa pembangunan sahaja.
Selepas FID, konsortium itu dijangka membentuk struktur usaha sama baharu yang mungkin melibatkan rakan kongsi tambahan, manakala terma akhir masih belum dimuktamadkan.
Dalam pada itu, CGSI mengekalkan saranan “Hold” terhadap Gas Malaysia dengan harga sasaran RM5.50 sesaham, susulan kenaikan saham sebanyak 28% sejak awal tahun.
Menurutnya, kenaikan tersebut telah pun mengambil kira sebahagian besar potensi nilai tambah daripada projek RGT Yan serta persekitaran harga minyak yang kekal tinggi lebih lama.
“Pada peringkat ini, kami melihat penilaian pasaran terhadap saham Gas Malaysia sudah mencerminkan sebahagian besar katalis sedia ada,” katanya.
Walau bagaimanapun, saham syarikat masih menawarkan hasil dividen menarik sekitar 4% hingga 5% bagi tempoh FY26 hingga FY28, disokong oleh aliran tunai bebas yang kukuh.
Antara risiko kenaikan termasuk potensi liberalisasi pasaran gas yang boleh meningkatkan volum operasi serta harga minyak yang kekal melebihi AS$100 setong lebih lama daripada jangkaan.
Risiko penurunan pula termasuk kegagalan memenuhi syarat Suruhanjaya Tenaga bagi projek RGT serta tekanan terhadap margin penghantaran sekiranya harga minyak dan kontrak perkapalan susut lebih daripada jangkaan. - DagangNews.com








