Gareth Bale tawar £40 juta beli kelab Cardiff City daripada Vincent Tan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gareth Bale tawar £40 juta beli kelab Cardiff City daripada Vincent Tan

KUALA LUMPUR 4 Julai - Bekas penyerang Real Madrid, Gareth Bale mengetuai sebuah konsortium mengemukakan tawaran £40 juta (RM230 juta) untuk membeli kelab Wales, Cardiff City daripada bilionair Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.

 

Bekas kapten Wales itu sudah lama berminat untuk memiliki kelab bola sepak dan sebelum ini dikaitkan dengan pengambilalihan kelab Plymouth Argyle tetapi ia tidak dapat direalisasikan.

 

Vincent sebelum ini juga menyatakan kesediaannya menjual kelab itu kepada pihak yang berminat dan terbuka kepada sebarang rundingan. 

 

Bagaimanapun tawaran yang dikemukakan Bale itu dijangka ditolak walaupun rundingan masih berlangsung dan perjanjian masih berpotensi dimeterai.

 

bale
Gareth Bale - AFP

 

“Kami berminat mendapatkan Cardiff. Ia adalah kelab kampung halaman saya, tempat saya dibesarkan dan pakcik saya (Chris Pike) pernah bermain untuk mereka. Terlibat dalam kumpulan pemilik kelab adalah ibarat impian menjadi kenyataan.

 

“Ia adalah kelab yang dekat di hati saya. Saya ingin membantu membangunkan Cardiff dan membawa kelab itu ke Liga Perdana, tempat yang sewajarnya untuk mereka.

 

“Kami sedang cuba berhubung dengan Cardiff dan lebih banyak berita akan dikongsikan pada masa akan datang. Harapnya, kami dapat capai sesuatu," katanya kepada The Times, baru-baru ini.

 

Tawaran sebelum ini juga telah ditolak, dan walaupun bidaan £40 juta ini berkemungkinan menerima nasib yang sama namun kedua-dua pihak kekal terbuka untuk mencapai persetujuan.

 

Menurut The Times, Vincent juga telah menerima satu tawaran rasmi dengan sokongan daripada pelabur Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com