KUALA LUMPUR 20 Mei – Pengeluar roti, Gardenia Foods akan memindahkan operasi pengeluaran bakerinya dari Singapura ke Johor Bahru dalam langkah strategik bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengekalkan daya saing perniagaan di peringkat serantau.
Langkah tersebut bagaimanapun akan menyebabkan seramai 141 pekerja di fasiliti pengeluaran syarikat itu di Pandan Loop, Singapura terjejas susulan penamatan operasi kilang berkenaan yang dijadualkan pada 30 Jun 2026.
Gardenia dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira cabaran persekitaran perniagaan global yang semakin kompetitif selain keperluan mengoptimumkan kos operasi jangka panjang kumpulan itu.
“Johor Bahru dipilih sebagai lokasi baharu pengeluaran memandangkan kawasan itu menawarkan kapasiti operasi yang lebih efisien selain kedudukannya yang strategik untuk menyokong rangkaian pengedaran serantau.
“Gardenia telah memaklumkan kepada pekerja mengenai keputusan tersebut dalam satu sesi taklimat dalaman yang diadakan serta memberi jaminan semua pekerja terjejas akan menerima bantuan sewajarnya mengikut undang-undang pekerjaan tempatan.
“Pekerja yang layak turut akan dipertimbangkan untuk mengisi jawatan bersesuaian dalam rangkaian operasi kumpulan yang lain bergantung kepada kekosongan dan keperluan semasa,” katanya.
Dalam pada itu, kesatuan sekerja di Singapura dalam industri makanan dan minuman iaitu FDAWU (Food, Drinks and Allied Workers Union) berkata pihaknya telah dimaklumkan lebih awal mengenai pelaksanaan penstrukturan semula itu dan kini bekerjasama rapat dengan syarikat bagi membantu pekerja yang terkesan.
Kesatuan sekerja tersebut yang merupakan gabungan di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan Singapura (NTUC) turut menyediakan bantuan termasuk latihan semula, penempatan pekerjaan dan khidmat sokongan berkaitan pemberhentian kerja.
Selain itu, Gardenia akan menyediakan pampasan sewajarnya kepada pekerja terbabit serta menaja keahlian kesatuan selama setahun bagi membantu mereka mendapatkan akses kepada sokongan pekerjaan dan kebajikan.
Institut Pekerjaan dan Kebolehpasaran (e2i) pula akan menyediakan bantuan padanan pekerjaan dan khidmat pembangunan kerjaya bagi memudahkan proses peralihan pekerja ke sektor pekerjaan lain.
QAF Ltd yang mengambil alih Gardenia pada 1985 terus memperluaskan operasi kumpulan itu di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia, Filipina dan Australia, sekali gus menjadikan pemindahan operasi ke Johor Bahru sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan semula operasi serantaunya. - DagangNews.com








