KUALA LUMPUR 6 Nov – Hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati gangguan sementara terhadap kualiti rangkaian mudah alih di sekitar bandar Sibu, Sarawak, pada 1 November lalu berpunca daripada insiden bekalan elektrik terputus dalam tempoh panjang di salah satu menara telekomunikasi utama di kawasan Sri Aman.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, gangguan tersebut menjejaskan sambungan antara menara di kawasan bahagian tengah hingga utara Sarawak termasuk Sibu, namun perkhidmatan rangkaian mudah alih telah dipulihkan secara berperingkat antara jam 10 pagi hingga 5 petang pada hari yang sama.
“Hasil penilaian mendapati prestasi rangkaian mudah alih di kawasan yang diuji berada dalam keadaan baik dan stabil, dengan kadar muat turun serta muat naik berada pada tahap memuaskan bagi semua penyedia perkhidmatan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, siasatan itu dilakukan susulan aduan orang awam dan isu yang turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sibu dalam sesi Parlimen baru-baru ini. Ujian liputan rangkaian dilaksanakan di beberapa lokasi utama termasuk Jalan Pulau, Jalan Merdeka dan kawasan Sungai Bidut.
MCMC turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2025, sebanyak 61 audit rangkaian telah dijalankan di daerah Sibu, manakala 16 notis penambahbaikan dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi piawaian prestasi yang ditetapkan.
Langkah tersebut, menurut suruhanjaya itu, mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkukuh infrastruktur komunikasi dan memastikan kebolehpercayaan rangkaian kekal pada tahap optimum, sejajar dengan aspirasi Malaysia Digital (MD) untuk mempercepatkan pendigitalan negara.
“Ia sejajar komitmen MCMC untuk memastikan industri komunikasi dan multimedia terus berkembang secara mampan serta menyokong agenda pendigitalan negara,” katanya. - DagangNews.com








