KUALA LUMPUR 24 Mac - Gamuda Bhd diunjur mencatatkan pendapatan teras antara RM210 juta hingga RM240 juta pada 2QFY25 disokong kemajuan lebih tinggi bagi projek utamanya daripada pusat data dan Sydney Metro West di Australia.
RHB Research menyukai pendedahan Gamuda yang pelbagai selain daripada saham yang dinilai rendah pada 16x FY26F P/E, sama seperti tahap yang didagangkan semasa kitaran menaik 2017, apabila buku pesanan tertunggaknya hanya pada RM7.8 bilon (berbanding RM37 bilion ketika ini).
Katanya, sasaran buku pesanan tertunggak kumpulan adalah utuh dengan anggaran buku pesanan belum dibilkan sebanyak RM32 bilion pada akhir 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan mengandaikan buku pesanan bulanan sebanyak RM1 bilion, kumpula itu memerlukan kemenangan baharu antara RM20 bilion hingga RM25 bilion bagi mencapai sasaran antara RM40 bilion hingga RM45 bilion menjelang akhir 2025.
"Dengan mengambil kira pakej Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Segmen 1, RM5 bilion diperoleh pada Januari 2025, kami berpendapat sasaran Gamuda boleh dicapai," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, kontrak jangka pendek yang mungkin dirai pada tahun ini termasuk skim bekalan air untuk Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Sabah (RM3 bilion), Fasa 2 (dianggarkan 100MW hingga 120MW) pusat data Pearl Computing Malaysia di Elmina (diunjurkan pada RM2 bilion), Laluan Suburban Rail Loop East (RM9 bilion) dan Pakej stesen Sydney Metro West (sekurang-kurangnya AUD1 bilion).
Katanya, terdapat juga kerja-kerja penglibatan awal kontraktor (ECI) untuk projek Oven Mountain Pumped Hydro, yang boleh ditukar menjadi kontrak rasmi (saham Gamuda dianggarkan pada AUD1 bilion).
"Ini tidak termasuk potensi pembinaan pusat data di Negeri Sembilan di atas tanah seluas 157.4 hektar, yang boleh menampung 500MW hingga 1GW binaan pusat data," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, projek pengagihan air mentah Empangan Sungai Perak-Bukit Merah sedang dalam peringkat perancangan akhir, dan boleh meningkatkan buku pesanan Gamuda sebanyak RM4 bilion sebaik sahaja dilancarkan.
Projek air lain untuk direbut termasuk Skim Bekalan Air Sungai Rasau Peringkat 2 (dijangka pada RM2 bilion) dan rancangan Air Selangor untuk membina dua loji rawatan air baharu (Labohan Dagang Fasa 2 dan Langat 2 Fasa 2) menjelang 2030 memandangkan Gamuda kini terlibat dalam Peringkat 1 Skim Bekalan Air Sungai Rasau bernilai RM2 bilion.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.83 sesaham," katanya.- DagangNews.com








