KUALA LUMPUR 4 Mac – RHB Research mengekalkan saranan Beli terhadap saham Gamuda Berhad dengan harga sasaran RM6.26 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 53% berbanding harga semasa RM4.09.
Firma penyelidikan itu berkata, penilaian tersebut dibuat menjelang pengumuman keputusan suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), dengan jangkaan keuntungan teras kumpulan berada dalam lingkungan RM220 juta hingga RM240 juta.
“Unjuran itu diterjemahkan kepada pertumbuhan tahun ke tahun antara 4% hingga 13.7%, disokong kemajuan kerja yang lebih tinggi bagi projek sedia ada, terutamanya projek Sydney Metro West di Australia.
“Dalam masa sama, beberapa projek yang sudah hampir siap seperti Coffs Harbour Bypass dan pakej terowong Sydney Metro West berpotensi menyaksikan pelarasan semula kos projek sekali gus membantu perkiraan semula margin keuntungan Gamuda,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
RHB Research berkata, sasaran buku tempahan sebanyak RM50 bilion hingga RM55 bilion menjelang akhir tahun 2026 kekal realistik, meskipun kumpulan perlu meraih sekurang-kurangnya RM20 bilion hingga RM25 bilion kontrak baharu dalam tempoh berkenaan.
Setakat akhir tahun kalendar 2025, baki buku tempahan Gamuda dianggarkan sekitar RM45 bilion, dengan kadar pelaksanaan kerja bulanan kira-kira RM1.3 bilion.
Antara projek berpotensi yang boleh menyumbang kepada pengisian semula buku tempahan termasuk skim bekalan air Sabah bernilai sekitar RM3 bilion hingga RM4 bilion, Direct Sunshine Coast Rail Line di Queensland serta projek Hunter Transmission di Australia.
Selain itu, Gamuda baru-baru ini dipilih sebagai pembida pilihan oleh Edify Energy bagi dua projek solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri di Queensland yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM3 bilion secara keseluruhan.
RHB Research berkata, penglibatan dalam projek tenaga boleh diperbaharui itu mampu menampung sebarang kelewatan dalam kerja awal kontraktor (ECI) berkaitan projek hidro pam yang lazimnya mengambil masa lebih panjang untuk dimuktamadkan sebagai kontrak penuh.
Dalam perkembangan lain, Gamuda turut disenarai pendek melalui konsortium untuk mengendalikan dan menyelenggara rangkaian kereta api Melbourne, dengan kerja dijangka bermula pada akhir 2027.
Firma penyelidikan itu menjangkakan projek pusat data akan terus menjadi penyumbang signifikan kepada buku pesanan kumpulan dengan anggaran komposisi sekitar 10% hingga 15% dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
RHB Research mengekalkan harga sasaran RM6.26 yang diperoleh menerusi kaedah penilaian jumlah bahagian (SOP) termasuk premium ESG sebanyak 8% dan menegaskan Gamuda wajar diniagakan pada penilaian premium berbanding indeks pembinaan tempatan berikutan pendedahan kukuh di Australia, penglibatan dalam tenaga boleh diperbaharui serta permintaan berterusan terhadap pembinaan pusat data.
Namun, RHB Research turut menekankan risiko terhadap Gamuda, iaitu sekiranya syarikat gagal meraih kontrak baharu pada kadar yang dijangka, ia boleh menjejaskan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan masa depan. - DagangNews.com








