KUALA LUMPUR 13 Julai – Gabungan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menggesa kerajaan meneliti semula Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) 2026 dengan mendakwa cadangan undang-undang itu masih belum memenuhi piawaian antarabangsa dan gagal menjamin hak rakyat untuk mengakses maklumat yang dipegang oleh badan awam.
Dalam kenyataan bersama, Centre for Independent Journalism (CIJ), ARTICLE 19, Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) bersama lapan lagi pertubuhan berkata, RUU itu mewujudkan proses pentadbiran yang bersifat menyekat, bukannya memperuntukkan hak substantif terhadap akses kepada maklumat.
Menurut mereka, cadangan undang-undang tersebut dilihat lebih menggalakkan kerahsiaan berbanding keterbukaan dan ketelusan, selain hanya memberi gambaran seolah-olah akses kepada maklumat dipertingkatkan sedangkan budaya kerahsiaan sedia ada masih dikekalkan.
Kenyataan itu dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, membentangkan RUU Kebebasan Maklumat 2026 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.
RUU itu dijadualkan untuk bacaan kali kedua dalam sidang Parlimen semasa yang berakhir pada 16 Julai.
Gabungan itu berpandangan RUU tersebut masih mengekalkan kedudukan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan undang-undang kerahsiaan lain sebagai mengatasi prinsip keterbukaan maklumat, sedangkan maklumat yang dipegang oleh badan awam sepatutnya boleh diakses secara terbuka kecuali jika pendedahannya boleh dibuktikan membawa kemudaratan.
Pengecualian Terlalu Luas, Tidak Jelas
Mereka turut menyifatkan pengecualian yang diperuntukkan dalam RUU itu sebagai terlalu luas dan tidak jelas sehingga berpotensi melindungi pelbagai kategori maklumat kerajaan daripada penelitian awam, termasuk dokumen berkaitan pertimbangan dalaman kerajaan, maklumat komersial dan dokumen yang dikemukakan oleh pihak ketiga.
Selain itu, gabungan berkenaan berkata RUU tersebut tidak memperuntukkan ujian kemudaratan (harm test) yang komprehensif serta mekanisme pengecualian berasaskan kepentingan awam (public interest override), yang lazimnya menjadi elemen penting dalam undang-undang kebebasan maklumat di banyak negara.
Mereka juga membangkitkan kebimbangan terhadap peruntukan yang mewajibkan pemohon menyatakan sebab permohonan maklumat dibuat serta mengehadkan penggunaan maklumat kepada tujuan yang dinyatakan dalam permohonan asal.
Menurut gabungan itu, peruntukan tersebut boleh menjejaskan usaha wartawan, penyelidik, pemberi maklumat dan pertubuhan masyarakat sivil untuk mendapatkan maklumat kerajaan kerana penggunaan maklumat bagi tujuan berbeza boleh dianggap sebagai satu kesalahan.
Mereka turut mengkritik Fasal 22 yang menyatakan bahawa tiada apa-apa dalam RUU itu boleh ditafsirkan sebagai memberikan kebebasan asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan, dengan menyifatkannya berpotensi menjejaskan tafsiran mahkamah terhadap hak kebebasan bersuara dan hak mendapatkan maklumat.
Pada masa sama, gabungan tersebut mempersoalkan keberkesanan mekanisme pemantauan yang dicadangkan kerana ombudsman yang bakal diwujudkan tidak mempunyai bidang kuasa terhadap maklumat yang dilindungi di bawah OSA serta undang-undang kerahsiaan lain.
Antara pertubuhan yang menyokong kenyataan bersama itu ialah Gerakan Media Merdeka (Geramm), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Bersih, Freedom Film Network, SIS Forum (Malaysia) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Dirujuk Ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
Susulan kritikan yang dibangkitkan, Azalina mengumumkan kerajaan akan membentangkan usul pada 14 Julai untuk merujuk RUU Kebebasan Maklumat 2026 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang akan ditubuhkan bagi membolehkan penelitian lanjut dilakukan.
Langkah itu dijangka membuka ruang kepada semakan lebih menyeluruh terhadap setiap fasal RUU berkenaan dengan penglibatan ahli Parlimen, wakil masyarakat sivil, media, ahli akademik, pengamal undang-undang serta pihak berkepentingan sebelum ia dibentangkan semula untuk pertimbangan Dewan Rakyat. - DagangNews.com








