Aneka Jaringan teroka pasaran Taiwan ambil alih 51% ekuiti P3 International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aneka Jaringan teroka pasaran Taiwan ambil alih 51% ekuiti P3 International

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 JulaiAneka Jaringan Holdings Berhad mengorak langkah strategik melebarkan sayap ke pasaran Taiwan selepas memeterai perjanjian pengambilalihan 51% ekuiti P3 International Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan, langkah pembelian tersebut dilakukan subsidiarinya, Aneka Properties Sdn Bhd melibatkan 1,020,000 saham biasa bernilai RM1.02 juta.

 

Usaha ini dilihat signifikan kerana P3 International melalui cawangannya, P3 Taiwan meraih tiga kontrak pembinaan asas bernilai TWD305.24 juta (kira-kira RM38.76 juta) bagi projek Transit Aliran Massa (MRT).

 

"Bagi menjamin nilai pelaburan tersebut, ada jaminan keuntungan selepas cukai (PAT) minimum RM1 juta secara agregat bagi tempoh tiga tahun yang bermula 1 September 2026," jelas Aneka Jaringan.

 

Pertimbangan nilai pembelian dipersetujui atas dasar bersama setelah diambil kira nisbah harga kepada pendapatan (PE) 6 kali berdasarkan purata jaminan untung tahunan berjumlah RM333,333.

 

Ujarnya, keseluruhan nilai transaksi tersebut akan dibayar sepenuhnya secara tunai pada tarikh penyelesaian, yang akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman kumpulan berkenaan sendiri.

 

Lembaga Pengarah Aneka Jaringan menyifatkan pengambilalihan ini sebagai peluang keemasan untuk memperluas jejak di Taiwan, dan mengukuhkan kehadiran melalui kepakaran teknikal yang sedia ada.

 

Bagaimanapun, transaksi ini diklasifikasikan sebagai urus niada pihak berkaitan (RPT) memandangkan beberapa pengarah dan pemegang saham utama turut mempunyai kepentingan dalam Aneka Properties.

 

"Meskipun tiada impak material segera terhadap aset bersih dan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026, ia dijangka menyumbang positif kepada pertumbuhan masa depan," tambahnya.

 

Keputusan ini juga selari dengan prospek ekonomi Taiwan yang diunjurkan berkembang 9.64% pada 2026 dipacu oleh permintaan luar amat kukuh dalam rantaian bekalan kecerdasan buatan (AI) global.

 

Sekiranya semua syarat dalam perjanjian jualan dipenuhi tanpa masalah, cadangan pengambilalihan ini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2026. - DagangNews.com