KTC labur RM30 juta bina kilang Gardenia di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KTC labur RM30 juta bina kilang Gardenia di Sarawak

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kim Teck Cheong Consolidated Bhd. (KTC) akan melabur RM30 juta untuk membina sebuah kilang pembuatan roti Gardenia di Sarawak menerusi penubuhan syarikat usaha sama dengan Sanjung Etika Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak, dan Kerajaan Negeri Sarawak.

 

Pelaburan itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menubuhkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn. Bhd., yang akan menggabungkan kepakaran Gardenia dalam pembuatan makanan dengan usaha Yayasan Sarawak dalam pembangunan modal insan dan komuniti.

 

Kedua-dua pihak menyasarkan untuk memuktamadkan Perjanjian Usaha Sama (JV Agreement) dan Perjanjian Pemegang Saham dalam tempoh tiga bulan akan datang sebelum operasi syarikat usaha sama itu dimulakan secara rasmi.

 

"Sebagai sebahagian daripada pelaburan tersebut, KTC telah memohon tanah seluas 7.56 ekar daripada Kerajaan Negeri Sarawak bagi pembinaan kilang baharu itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Projek berkenaan dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu, khususnya kepada graduan tempatan dan tenaga kerja mahir di Sarawak, sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan negeri.

 

Potensi Ekonomi Sarawak

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, pelaburan itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi ekonomi Sarawak yang semakin berkembang.

 

Beliau berkata, ketika KTC memulakan operasi di Sarawak sedekad lalu, syarikat itu tidak mempunyai pekerja di negeri berkenaan, namun kini menggaji 400 rakyat Sarawak, mewakili 32.5% daripada keseluruhan tenaga kerja kumpulan.

 

Menurutnya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan sistem pentadbiran, pendidikan dan pembangunan modal insan Sarawak dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing untuk sektor swasta.

 

Sehingga kini, jumlah pelaburan KTC di Sarawak telah mencecah RM300 juta, menjana pulangan tahunan sekitar RM400 juta, selain menguruskan aset operasi dan perdagangan bernilai RM140 juta.

 

KTC menjangkakan impak ekonomi daripada pelaburannya akan terus berkembang menerusi penyepaduan rantaian bekalan Gardenia serta operasi kilang pembuatan baharu di negeri itu.

 

Gardenia "Edisi Sarawak"

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, syarikat turut merancang memperkenalkan rangkaian produk eksklusif Gardenia "Edisi Sarawak", yang menampilkan pembungkusan khas sebagai penghargaan terhadap identiti dan warisan budaya Sarawak.

 

Dalam masa sama, KTC menyatakan sokongan terhadap visi pembangunan ekonomi jangka panjang Kerajaan Sarawak, termasuk penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Pontianak, Indonesia.

 

Syarikat itu bercadang memanfaatkan platform tersebut untuk meneroka peluang pelaburan rentas sempadan baharu dengan menjadikan Sarawak sebagai hab operasi serantau.

 

Menurut KTC, pelaksanaan pelaburan RM30 juta itu diharap dapat dipercepatkan dengan sokongan berterusan Kerajaan Negeri Sarawak bagi memperkukuh keselamatan bekalan makanan, merangsang pertumbuhan ekonomi negeri serta mewujudkan manfaat sosioekonomi yang mampan kepada semua pihak. - DagangNews.com