Lebih 550,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Temasya Orang Kedah 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 550,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Temasya Orang Kedah 2026

Temasya yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman ini ini merupakan festival pelancongan budaya terbesar di Kedah yang menghimpunkan keunikan seni, budaya, warisan, makanan tradisi serta identiti masyarakat Kedah dalam satu  platform
Oleh RAFISQI RADHI

ALOR SETAR 13 Julai - Seramai 550,000 pengunjung dijangka membanjiri acara pelancongan ikonik di negeri ini, Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 30 Julai hingga 2 Ogos depan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, penganjuran acara tahunan yang memasuki edisi ke-6 kali ini, dijangka lebih meriah dengan sembilan daerah bakal mengenengahkan identiti masing-masing termasuk dari aspek budaya dan gastronomi. 

 

"Temasya yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman ini ini merupakan festival pelancongan budaya terbesar di Kedah yang menghimpunkan keunikan seni, budaya, warisan, makanan tradisi serta identiti masyarakat Kedah dalam satu platform. 

 

"Acara ini dijangka menjadi tarikan kepada sektor pelancongan negeri berteraskan tema 'Experience Kedah', sekali gus memberi pengalaman secara langsung terhadap pengunjung mengenai keunikan negeri ini.  Kita yakin, acara yang diadakan secara tahunan ini akan terus meletakkan kedah sebagai destinasi pelancongan yang unik dan berdaya saing," katanya. 

 

Beliau  berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penganjuran TOK 2026 bersama agensi terlibat di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. 

 

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Harris berkata, penganjuran TOK 2026 bukan saja bertujuan untuk melestarikan budaya Kedah, malah turut membantu memperkukuhkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan. 

 

"Temasya ini juga bertindak sebagai platform utama dalam mengekalkan identiti budaya tempatan selain memperkukuhkan seni dan budaya bagi menarik kehadiran pelancong," katanya. 

 

Selain pameran dan aktiviti berkaitan kebudayaan, kesenian dan warisan negeri, temasya tersebut akan turut dipenuhi dengan festival makanan tempatan terbesar melibatkan lebih 125 perniagaan yang memenuhi pekarangan Stadium Darul Aman.

 

Dalam pada itu, Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd. Zaidy Omar memaklumkan, pihaknya turut menjalankan kerjasama bersama beberapa pihak bagi menarik kedatangan pelancong luar negara termasuk dari Thailand. 

 

"Pada tahun lalu, kita turut menerima kedatangan pelancong dari luar negara antaranya Thailand dan Singapura. Tahun ini, usaha promosi itu akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai pelancong akan hadir ke temasya tersebut," katanya. - DagangNews.com