KUALA LUMPUR 25 Mac – Foodie Media Berhad memperoleh 80% kepentingan ekuiti dalam WTM Media Sdn. Bhd pada harga RM250,000 bagi memperluaskan penglibatan dalam segmen kandungan digital e-sukan dan permainan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pengambilalihan berkenaan dimeterai menerusi perjanjian jual beli saham dengan Mariah Binti Ahmad pada 24 Mac 2026 dan diselesaikan pada hari yang sama.
WTM Media yang ditubuhkan pada 9 Disember 2025 merupakan syarikat pemasaran digital yang memfokuskan kepada kandungan berkaitan e-sukan dan permainan, serta mengendalikan jenama “What’s The Meta” atau “WTM Today”.
“Platform tersebut mempunyai lebih 600,000 pengikut merentasi pelbagai media sosial termasuk Instagram, Facebook, TikTok dan YouTube.
“Harga pembelian ditentukan berdasarkan persetujuan antara pembeli dan penjual dengan mengambil kira keupayaan penghasilan kandungan, tahap penglibatan audiens serta prospek pertumbuhan dalam segmen e-sukan dan kandungan digital.
“Pembelian itu dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman syarikat tanpa melibatkan sebarang liabiliti yang perlu ditanggung,” katanya dalam makluman tersebut.
Sebelum ini, anak syarikat milik penuh Foodie Media, Good Foodie Media Sdn. Bhd., telah menjalin kerjasama dengan WTM Media pada Februari 2026 bagi pembangunan dan pengkomersialan kandungan digital dalam pasaran sama.
Lembaga pengarah Foodie Media berpandangan pengambilalihan tersebut akan membolehkan syarikat mengukuhkan kedudukan dalam segmen kandungan digital serta membuka peluang penjanaan pendapatan baharu melalui format kandungan dan pengiklanan.
Pengambilalihan itu bagaimanapun tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih dan tahap penggearan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026.- DagangNews.com








