Fomca sifatkan tarif baharu elektrik mesra B40 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fomca sifatkan tarif baharu elektrik mesra B40

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 25 Jun – Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyokong terhadap pelaksanaan struktur tarif elektrik baharu di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 di bawah kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

 

Walaupun kadar penurunan dilihat kecil, ia disokong oleh pembaharuan struktur yang memberi perlindungan lebih besar kepada pengguna domestik, khususnya golongan berpendapatan rendah B40 dan M40.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr T. Saravanan berkata, langkah itu sebagai tepat pada masanya, progresif dan memberi manfaat kepada isi rumah kerana mencerminkan sistem harga tenaga yang lebih adil dan telus.

 

"Inisiatif ini hadir ketika ramai pengguna berdepan tekanan kewangan akibat inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

 

"Struktur tarif baharu mengurangkan purata tarif asas daripada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh) kepada 45.40 sen/kWh, sekali gus menyumbang kepada penurunan anggaran 19% dalam kos elektrik purata berbanding tempoh kawal selia sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengenalan "Insentif Kecekapan Tenaga" membolehkan isi rumah yang menggunakan 1,000 kWh atau kurang sebulan tidak terkesan dengan sebarang kenaikan tarif, sekali gus memberi ganjaran kepada pengguna yang cekap tenaga dan menggalakkan penggunaan bertanggungjawab.

 

Skim "Waktu Guna" (Time of Use) yang diperluas merangkumi hujung minggu dan waktu luar puncak dari jam 10 malam hingga 2 petang keesokan harinya, membolehkan pengguna menjimatkan kos dengan mengalihkan penggunaan elektrik ke tempoh tersebut.

 

Rebat 10% kepada institusi pendidikan, rumah ibadat, dan rumah kebajikan berdaftar juga akan dikekalkan.

 

"Penggantian mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) dengan sistem Pelarasan Automatik Bahan Api akan meningkatkan kecekapan respons harga terhadap pergerakan bahan api dan mata wang global.

 

"Fomca akan terus memantau pelaksanaan dasar ini secara rapi dan memperjuangkan penglibatan berterusan pengguna, pendidikan serta penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan impak dasar ini dimaksimumkan," tambah Saravanan. 

 

Suruhanjaya Tenaga sebelum ini mengumumkan lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan mendapat manfaat daripada struktur tarif elektrik yang lebih adil dan progresif bermula 1 Julai 2025 di bawah jadual tarif baharu RP4.- DagangNews.com