KUALA LUMPUR 27 Mac – Sektor pembuatan dan majikan swasta menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi mengurangkan kesan konflik Timur Tengah yang semakin menekan kos operasi dan rantaian bekalan perniagaan.
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata, ahlinya kini berdepan peningkatan kos tenaga dan logistik, selain gangguan rantaian bekalan yang mula memberi kesan ketara terhadap operasi harian.
Menurut FMM, penutupan Selat Hormuz serta gangguan laluan perkapalan Laut Merah telah menyebabkan lonjakan kos penghantaran, termasuk surcaj risiko perang dan premium insurans marin antara 200% hingga 400%.
Keadaan itu memaksa kapal melalui laluan alternatif di Tanjung Harapan, sekali gus memanjangkan tempoh penghantaran sehingga 14 hari dan menjejaskan jadual bekalan serta kitaran modal kerja industri pembuatan tempatan.
“Pengilang juga berdepan kekangan bekalan bahan mentah kritikal berasaskan petroleum seperti nafta, LPG, resin, getah sintetik dan sulfur, selain kos bahan pembungkusan yang semakin meningkat.
“Kebanyakan pengilang hanya mempunyai inventori antara dua hingga enam minggu. Gangguan berterusan boleh menjejaskan kesinambungan pengeluaran merentasi sektor utama,” menurut kenyataan FMM hari ini.
Bagi menangani tekanan kos dan mengekalkan daya saing eksport, FMM mencadangkan enam langkah utama termasuk pelepasan cukai dan duti bagi kargo eksport yang diimport semula, potongan cukai berganda untuk kos logistik berkaitan krisis, serta akses subsidi diesel bagi industri berintensif bahan api.
Selain itu, FMM turut mencadangkan peruntukan keutamaan bahan mentah kritikal, penangguhan kenaikan tarif pelabuhan serta ketelusan lebih tinggi dalam surcaj penghantaran dan amalan syarikat perkapalan.
Sementara itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyatakan sokongan terhadap langkah rasionalisasi bahan api kerajaan, namun menegaskan pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat dan mengambil kira keperluan setiap sektor.
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, sektor swasta perlu mengambil langkah segera bagi mengurangkan penggunaan bahan api tanpa menjejaskan produktiviti.
“Antaranya termasuk pelaksanaan kerja dari rumah bagi peranan tidak kritikal, menggalakkan perkongsian kenderaan serta penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan bahan api harian,” katanya.
Beliau turut menggesa syarikat mengoptimumkan operasi logistik melalui perancangan laluan lebih efisien, peningkatan kecekapan muatan serta mengurangkan perjalanan tidak perlu, selain memperluas penggunaan mesyuarat maya bagi mengurangkan perjalanan fizikal.
Dalam pada itu, kedua-dua FMM dan MEF memberi amaran bahawa perubahan dasar secara mendadak boleh meningkatkan kos pengeluaran dan tekanan inflasi.
Namun, mereka menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan langkah mitigasi dilaksanakan secara bersasar, sekali gus mengekalkan kesinambungan perniagaan, kestabilan ekonomi dan daya tahan negara. - DagangNews.com








