KUALA LUMPUR 17 Mac – Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk menangguhkan pembayaran pinjaman bank selama enam bulan bagi semua perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ia adalah sebahagian langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan sokongan kepada PMKS.
Langkah itu dicadangkan bagi membantu perniagaan kecil dan sederhana mengharungi cabaran dalam ketidaktentuan ekonomi yang meningkat berikutan situasi tegang yang berlaku di Timur Tengah ketika ini.
Presiden Emeritus FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi cabaran ekonomi yang lebih luas.
“Langkah rangsangan fiskal perlu dipertimbangkan untuk membantu PMKS mengurus cabaran dalam ketidaktentuan geopolitik ketika ini.
“Kami mencadangkan agar Majlis Tindakan Ekonomi Negara menilai keperluan langkah sokongan, termasuk kemungkinan penangguhan pinjaman selama enam bulan bagi membantu PMKS.
“Walaupun Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dilaporkan menyatakan bahawa pakej rangsangan mungkin tidak diperlukan buat masa ini, FMM mempunyai pandangan berbeza berkaitan perkara itu,” katanya.
Menurut Soh, PMKS membentuk hampir 97 peratus daripada perniagaan di negara ini, tetapi ramai masih menghadapi tekanan kewangan sejak pandemik Covid-19.
Oleh itu, beliau menegaskan sokongan proaktif daripada kerajaan membolehkan PMKS meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuh kapasiti eksport.
“Langkah ini juga bertujuan memastikan perniagaan lebih tahan lasak dari segi kewangan untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran.
“Kami juga mencadangkan agar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melaksanakan program khusus untuk membantu pengeksport memperluas akses pasaran.
“Ini termasuk mengurangkan kebergantungan kepada destinasi tradisional dan meneroka pasaran baharu seperti Afrika, Asia Tengah, Asia Selatan dan Amerika Latin,” katanya.
Sementara itu, Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka sederhana antara 3.8 dan 4.2 peratus sekiranya ketegangan di Timur Tengah meningkat.
“Namun, jika konflik kekal terkawal, pertumbuhan KDNK dijangka mencapai 4.7 peratus.
“Kos pengeluaran dan logistik meningkat, terutamanya dalam sektor pembinaan, tetapi beberapa syarikat masih menerima tempahan tinggi. Pelanggan membuat pembelian awal untuk mengelak kenaikan harga, sementara pengeluar menyesuaikan strategi sumber, logistik dan inventori bagi menghadapi kemungkinan lonjakan kos,” katanya. - DagangNews.com








