Fiamma fokus pengedaran produk Vino menerusi usaha sama dengan Samyou | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fiamma fokus pengedaran produk Vino menerusi usaha sama dengan Samyou

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mac — Kerjasama antara Fiamma Holdings Berhad dengan Zhuhai Samyou Environmental Technology Co Ltd bakal menyaksikan syarikat China itu menguruskan operasi pembuatan penyaman udara di bawah entiti dan sumbernya sendiri.
 

Sebaliknya, pengedar perkakas elektrik rumah itu akan memberi pula tumpuan kepada urusan penjualan dan pengedaran produk-produk jenama Vino di seluruh Malaysia melalui syarikat usaha sama dengan Vino Air-Conditioning (M) Sdn Bhd.
 

"Keputusan ini membolehkan setiap pihak dapat memberikan tumpuan kepada kekuatan terasnya sendiri sambil mampu mengekalkan integriti perkongsian strategik kami," kata Fiamma menerusi makluman yang difailkan kepada Bursa Malaysia.
 

Fiamma telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Samyou yang berpangkalan di Guangdong pada September 2024 untuk mewujudkan perkongsian serta mengembangkan perniagaan pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC).
 

Langkah tersebut menyaksikan pembentukan syarikat Vino Air-Conditioning, dengan Fiamma menguasai 70 peratus pegangan ekuiti manakala anak syarikat Samyou iaitu Great Trillion Investment Ltd memiliki baki 30 peratus lagi kepentingan.
 

Samyou memang sudah lama dikenali di China sebagai pakar dalam HVAC untuk pasaran kediaman, komersial dan perindustrian sejak diasaskan pada 2014, serta cukup popular dengan penghawa dingin yang berjenama Vino.
 

"Ini menandakan pencapaian penting dalam kerjasama kami dan mengukuhkan komitmen untuk merebut peluang pasaran industri yang semakin berkembang ini. Kedua-dua pihak kekal komited untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing.
 

"Justeru, kami begitu yakin melalui kehadiran pasaran Fiamma yang mantap dan kepakaran produk Samyou untuk dapat memacukan lagi kejayaan jangka panjang dalam perniagaan HVAC," tambah makluman berkenaan. - DagangNews.com