KUALA LUMPUR 29 April - Pantai Teluk Cempedak bakal menjadi tumpuan ramai apabila acara Festival Muzik Air Kuantan dianjurkan di lokasi tersebut.
Festival tersebut adalah antara acara yang disenaraikan dalam kalender Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, anjuran Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan.
Jurucakap penganjur, Jazri Danish berkata penganjuran festival tersebut bakal berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei depan.
“Antara pengisiannya termasuk Pertandingan Bola sepak Pantai, Sukaneka Air, Bola Tampar Pantai, Basikal Pantai, Boling Pantai Buah Kelapa dan Pertunjukan Api pada waktu malam.

“Pengunjung boleh mengambil bahagian dalam beberapa acara yang diadakan dan terbuka kepada orang awam secara percuma.
“Selain itu, pengunjung juga berpeluang bersantai bersama keluarga dan menikmati pelbagai juadah di gerai jualan yang disediakan di sepanjang Pantai Teluk Cempedak,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak penganjur menjangkakan seramai 100,000 pengunjung hadir ke festival yang julung kali dianjurkan itu yang bakal berlangsung ketika cuti panjang sempena Hari Pekerja.
Orang ramai khususnya di negeri-negeri Pantai Timur dijemput hadir beramai-ramai dan tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan penganjuran festival ini. - DagangNews.com








