KUALA LUMPUR 12 Feb — Sentimen pasaran saham tempatan kekal positif apabila FBMKLCI semalam kembali bangkit kukuh daripada kelemahan sehari sebelum ini, menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif berkenaan disokong oleh penyertaan belian yang meluas dalam kalangan pelabur dan kekuatan secara berterusan dalam sektor kewangan.
Prestasi pasaran jelasnya, menunjukkan momentum sihat apabila indeks perbankan mencatat paras tertinggi yang baharu, sekali gus menjadi pemacu utama kenaikan pasaran secara keseluruhan.
"Pada penutupan dagangan, FBMKLCI meningkat 8.85 mata atau 0.51% kepada 1,756.39 mata, dengan bilangan kaunter untung mengatasi rugi pada nisbah 575 berbanding 474," tambah Maybank IB lagi.
Selain itu kata firma berkenaan, pasaran disokong dengan kaunter bermodal besar seperti Press Metal Aluminium, Sime Darby dan PETRONAS Chemicals sebagai antara penyumbang utama kenaikan.
Ia menegaskan minat belian bukan sahaja tertumpu kepada saham berwajaran tinggi, malah melibatkan saham bermodal sederhana dan kecil, mencerminkan pengukuhan sentimen risiko oleh pelabur sendiri.
Sektor pengangkutan tambah Maybank IB, menjadi tumpuan apabila indeksnya melonjak menghampiri paras tertinggi 52 minggu, disokong kenaikan secara ketara saham Boustead Heavy Industries.
"Kami menjangkakan FBMKLCI mampu diniagakan dalam julat antara 1,745 hingga 1,765 mata dalam tempoh yang terdekat, dengan paras sokongan kekal pada 1,685 mata dan 1,640 mata," jelasnya.
Dari sudut dagangan teknikal, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Greatech Technology dengan paras henti rugi pada RM1.60 dan sasaran rintangan masing-masing pada RM1.96 dan RM2.18.
Saham kumpulan penyedia rumusan teknologi tersebut kata Maybank IB, dilihat kembali untuk mengukuh selepas lantunan daripada paras sokongan teknikal utama, disokong oleh peningkatan volum dagangan.
Formosa Prosonic Industries turut disyorkan 'beli', dengan paras henti rugi RM1.03, serta sasaran rintangan masing-masing pada RM1.26 dan RM1.40, susulan isyarat pengukuhan momentum harga.
"Sebaliknya, kami saran 'jual' Sorento Capital berikutan tanda-tanda keletihan momentum selepas lonjakan secara ketara bulan lalu, dengan paras sokongan utama dilihat pada 65 sen dan 59 sen," katanya.
Dalam pasaran derivatif, Maybank IB memberi amaran momentum menurun kontrak hadapan minyak sawit mentah (FCPO) semakin teguh, dengan harga komoditi tersebut berisiko menyambung aliran menurun.
Sementara kontrak hadapan FBMKLCI (FKLI) kekal dalam aliran menaik luas meskipun mencatat penyusutan kecil, dengan struktur teknikal menunjukkan potensi paras ‘higher low’ baharu. - DagangNews.com








