FBG peroleh kontrak RM15.5 juta bina 3 kilang projek Alpine 2 di Temasya Glenmarie | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBG peroleh kontrak RM15.5 juta bina 3 kilang projek Alpine 2 di Temasya Glenmarie

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 MacFBG Holdings Berhad memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM15.52 juta bagi pembangunan tiga buah kilang untuk projek Alpine 2 di Temasya Glenmarie, Shah Alam, Selangor.


Kumpulan itu berkata, anak syarikatnya, FBG Builder Sdn Bhd menerima surat penganugerahan (LOA) bertarikh 10 Mac 2026 daripada firma arkitek NR Architect bagi pihak pemaju projek tersebut.


Di bawah kontrak baharu itu, subsidiari berkenaan jelasnya, akan bertanggungjawab melaksanakan kerja pembinaan dan penyiapan kilang semi berkembar dan berkembar setinggi empat tingkat.


"Kontrak tersebut diberikan terus oleh Alpine Affluent Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik tidak langsung kepada SP Setia Berhad," tambah FBG dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Menurut kumpulan tersebut, projek hartanah berkenaan mempunyai tempoh pembinaan selama 12 bulan, yang akan bermula pada 16 Mac 2026 dengan dijadualkan perlu siap sepenuhnya menjelang 15 Mac 2027.


Di samping itu jelasnya, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan tersebut bagi dua tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026 dan 30 Jun 2027.


Syarikat pembinaan turut memaklumkan bahawa kontrak terkini berkenaan tidak akan memberi apa-apa kesan material terhadap mana-mana modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama.


"Pada masa sama, lembaga pengarah FBG menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak dalam kontrak ini," katanya.


Malahan, lembaga pengarah kumpulan itu juga berpandangan bahawa kontrak tersebut adalah dalam kepentingan terbaik syarikat berkenaan. - DagangNews.com