FatHopes Energy dan Topsoe tandatangani MoU bangunkan kilang penapisan bahan api penerbangan mampan di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FatHopes Energy dan Topsoe tandatangani MoU bangunkan kilang penapisan bahan api penerbangan mampan di Malaysia

Gambar/FB FatHopes Energy
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Feb - FatHopes Energy Sdn Bhd (FHE) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Topsoe, sebuah syarikat terkemuka dalam teknologi pengurangan karbon yang berpusat di Denmark, untuk membina kilang penapisan bahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia.

 

Projek itu akan memanfaatkan bahan mentah boleh diperbaharui seperti minyak masak terpakai (UCO) dan minyak lain berasaskan sisa untuk menghasilkan bahan api bio penerbangan, menyumbang kepada usaha pengurangan karbon dalam sektor penerbangan global.

 

Di bawah MoU tersebut, Topsoe akan menyediakan teknologi canggih termasuk rumusan pemangkin dan kepakaran kejuruteraan untuk menilai kebolehlaksanaan penubuhan kilang penapisan yang dicadangkan. 

 

Fasa pertama kerjasama berkenaan akan melibatkan kajian kebolehlaksanaan terperinci yang memberi tumpuan kepada penilaian Malaysia sebagai lokasi ideal untuk kemudahan SAF bertaraf dunia yang sejajar dengan matlamat kelestarian global.

 

FatHopes Energy akan menggunakan kepakaran unik dan rangkaian pengumpulan bahan mentah yang luas untuk memastikan rantaian bekalan bahan mentah berasaskan sisa yang kukuh. 

 

Apabila kemudahan itu dibangunkan, FatHopes Energy boleh mengendalikannya atau memberi lesen kepada pihak ketiga untuk tujuan komersial.

 

Ketua Pegawai Eksekutif FatHopes Energy, Vinesh Sinha berkata, kerjasama dengan Topsoe menandakan era baharu untuk organisasi mereka yang dibangunkan oleh individu-individu hebat dengan lebih dari satu dekad pengalaman mendalam.

 

"Misi kami adalah untuk mengumpul dan menukar sebanyak mungkin aliran sisa kepada bahan api bio, dengan tujuan untuk mengurangkan karbon dalam industri secara besar-besaran. 

 

"Sebagai organisasi pertama di Malaysia yang melaksanakan inisiatif sedemikian, kami memanfaatkan lokasi strategik negara dan sumber lestari yang melimpah. Projek ini berpotensi meletakkan Malaysia sebagai hab global untuk pengeluaran bahan api lestari," katanya dalam satu kenyataan.

 

Majlis tandatangan berlangsung pada 6 Disember 2024 di ibu pejabat Topsoe di Copenhagen, Denmark, dihadiri wakil dari kedua-dua syarikat.

 

Pengarah Barisan Produk Topsoe, Milica Folic berkata, kerjasama itu menekankan komitmen bersamanya untuk mempercepatkan peralihan tenaga dengan menghasilkan bahan api boleh diperbaharui yang berkualiti tinggi bagi mengurangkan pelepasan karbon.

 

"Dengan menggabungkan teknologi HydroFlex Topsoe bersama kepakaran FatHopes Energy dalam pengumpulan bahan mentah lestari, kami sedang menyediakan asas untuk projek yang akan mengubah landskap ini," ujarnya.

 

Kerjasama berkenaan dibuat menjelang Persidangan & Pameran Harga Minyak Sawit & Laurik Ke-36 (POC2025) di Kuala Lumpur pada 24 hingga 26 Februari 2025.

 

Sebagai satu daripada pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, negara ini mempunyai hasrat dan mengambil peranan kepimpinan dalam pembangunan SAF, yang menjadi rumusan penting untuk mengurangkan karbon dalam industri penerbangan.

 

Projek tersebut berpotensi memenuhi keperluan SAF domestik sambil menyokong cita-cita negara untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih lestari. 

 

Selain itu, penggunaan bahan berasaskan minyak sawit atau POME sebagai bahan mentah SAF dapat memenuhi keperluan kelestarian melalui pensijilan yang relevan, bergantung kepada setiap bidang kuasa.

 

MoU tersebut selaras dengan matlamat strategik Malaysia untuk mempelbagaikan sumber tenaga dan mengurangkan jejak karbon. 

 

Pembangunan kilang penapisan SAF dapat membantu meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam rumusan tenaga lestari, menarik pelaburan global dan mendorong kemajuan dalam pasaran bahan api bio. 

 

Inisiatif berkenaan dibangunkan berdasarkan potensi Malaysia untuk menjadi kuasa bahan api bio, menyumbang kepada usaha kelestarian global sambil mengekalkan kelebihan daya saingnya di pasaran antarabangsa.

 

Ia juga sejajar dengan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara di Malaysia serta Pelan Tindakan Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia (MDB) dan cita-cita SAF negara. - DagangNews.com