Farmiera raih RM167.2 juta pendapatan 1QFY2026, isytihar dividen sulung 0.5 sen selepas penyenaraian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farmiera raih RM167.2 juta pendapatan 1QFY2026, isytihar dividen sulung 0.5 sen selepas penyenaraian

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei – Farmiera Berhad mencatat prestasi kewangan yang stabil bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2026 (Q1FY2026) dengan hasil sebanyak RM167.2 juta disokong oleh operasi bersepadu dalam segmen penternakan dan pemprosesan ayam.

 

Syarikat turut merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM4.49 juta manakala keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM3.07 juta bagi tempoh suku tahun berkenaan.

 

Prestasi tersebut didorong oleh sumbangan seimbang daripada dua segmen utama perniagaan, iaitu penternakan ayam dan pemprosesan ayam yang masing-masing menyumbang 52.14 peratus dan 47.86 peratus kepada jumlah hasil kumpulan.

 

Seiring dengan pencapaian itu, Lembaga Pengarah Farmiera telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 0.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 yang akan dibayar pada 15 Jun 2026.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Farmiera, Hong How Seng berkata syarikat berpuas hati dengan keputusan kewangan yang stabil bagi permulaan tahun 2026 serta pengumuman dividen pertama kepada pemegang saham.

 

Beliau berkata, prestasi tersebut mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memperkukuh kedudukan pasaran selepas penyenaraian di Pasaran ACE pada November tahun lalu.

 

“Farmiera kini memberi tumpuan kepada strategi integrasi menegak bagi meningkatkan margin keuntungan dan kecekapan operasi dalam jangka panjang.

 

“Pelaksanaan strategi itu sedang berjalan lancar dengan siapnya empat daripada enam ladang baka induk yang dibangunkan syarikat, manakala baki dua ladang dijangka siap masing-masing pada suku kedua dan suku keempat 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, sebuah pusat penetasan telur ayam khusus di Negeri Sembilan sedang dibangunkan dan dijangka siap pada suku keempat 2026 bagi mengukuhkan lagi rantaian bekalan sedia ada.

 

Selepas siap, kemudahan tersebut dijangka mengurangkan kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga untuk anak ayam berumur sehari yang akan memberi kawalan lebih baik terhadap kualiti dan kos pengeluaran.

 

Farmiera berkata prospek kumpulan kekal berhati-hati disokong oleh inisiatif kerajaan dalam memperkukuh keselamatan makanan negara serta pelaksanaan berterusan pelan pengembangan syarikat.

 

Farmiera Berhad merupakan antara pengeluar utama produk ayam berkualiti tinggi di Malaysia yang terlibat dalam keseluruhan rantaian nilai industri ternakan, daripada penternakan anak ayam hingga pemprosesan dan pengedaran produk ayam segar serta mentah. - DagangNews.com