Farm Fresh catat peningkatan untung bersih lebih 2 kali ganda kepada RM79.6 juta pada 9MFY25 dipacu pelancaran produk baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farm Fresh catat peningkatan untung bersih lebih 2 kali ganda kepada RM79.6 juta pada 9MFY25 dipacu pelancaran produk baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Untung bersih Farm Fresh Bhd bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2024 (9MFY25) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM79.6 juta berbanding RM19.3 juta bagi tempoh sama tahun disokong pelancaran produk baharu termasuk Farm Fresh Grow, Farm Fresh Choco Malt dan aiskrim.

 

Hasil kumpulan bagi tempoh itu juga meningkat 23.9% kepada RM737.5 juta berbanding RM595.4 juta pada 9MFY24.

 

Kumpulan itu berkata, Inside Scoop dan Sin Wah juga menyumbang kepada peningkatan hasil dan pendapatan Farm Fresh dalam tempoh yang ditinjau.

 

"Sementara itu, margin keuntungan kasar juga meningkat dengan ketara daripada 25.3% kepada 32.2% hasil daripada pengurangan kos input yang digandingkan dengan sumbangan yang lebih tinggi daripada Inside Scoop dan Sin Wah serta operasinya di Australia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Untung bersih kumpulan itu pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2024 (3QFY25) juga meningkat kepada RM26.2 juta berbanding RM20.6 juta dengan peningkatan hasil RM246.6 juta berbanding RM211.6 juta pada 3QFY24.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Loi Tuan Ee berkata, permintaan untuk produk Farm Fresh terutamanya aiskrim sangat tinggi dan pihaknya berhasrat mengembangkan kapasiti kilang pengeluaran di Taiping dan ia bagi memastikan kumpulan dapat memenuhi permintaan sementara menunggu penyiapan kilang Enstek menjelang akhir 2025.

 

Katanya, produk Choco Malt terus mendapat perhatian dalam kalangan pelanggan berikutan pengenalan format bungkusan 35g serta format 1kg dan 2kg yang bertujuan bagi pasaran perdagangan moden, pasar mini dan saluran perkhidmatan makanan.

 

"Selain itu, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memupuk portfolio produk yang pelbagai, baru-baru ini kami telah memperkenalkan susu tepung dan mentega penuh krim kami. Kami juga merancang untuk melancarkan susu kultur Farm Fresh Grow kami pada Mac 2025.

 

"Dari segi perladangan, komitmen kami untuk meneruskan pertumbuhan kami terbukti dengan pembesaran ladang Muadzam Shah," katanya.

 

Beliau berkata, tambahan 202.3 hektar yang dipajak daripada kerajaan negeri Pahang membolehkan pihaknya meningkatkan kapasiti dengan berkesan kepada 6,000 ekor lembu tenusu dengan operasi dijangka bermula pada pertengahan 2025.

 

"Di peringkat serantau, rancangan kami mula dibentuk di Filipina di mana kilang telah beroperasi sejak September 2024. 

 

"Kami menumpukan pada memperkenalkan produk sejuk, UHT dan susu tepung ke pasaran Manila dengan mengambil langkah penting ke hadapan dalam strategi pengembangan serantau," katanya.- DagangNews.com