Farm Fresh berdepan tekanan kos, gangguan bekalan pembungkusan akibat konflik Timur Tengah - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farm Fresh berdepan tekanan kos, gangguan bekalan pembungkusan akibat konflik Timur Tengah - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 April - Farm Fresh Bhd berdepan tekanan kos yang semakin meningkat serta gangguan bekalan pembungkusan susulan konflik di Timur Tengah, yang berpotensi menjejaskan jualan dan margin keuntungan kumpulan itu.

 

Menurut penganalisis, syarikat tenusu tersebut kini bergelut dengan kenaikan kos pembungkusan, logistik dan elektrik, yang secara keseluruhan menyumbang kira-kira 10% daripada struktur kosnya.

 

CIMB Securities berkata, gangguan bekalan pembungkusan boleh memberi kesan langsung kepada jualan produk utama Farm Fresh, terutamanya jika isu tersebut berlarutan.

 

“Sekiranya gangguan berpanjangan, ia boleh menjejaskan ketersediaan pembungkusan secara lebih meluas dalam sektor barangan pengguna bergerak pantas (FMCG),” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Konflik di Timur Tengah bukan sahaja mengganggu bekalan minyak dan gas, malah turut menjejaskan rantaian bekalan polietilena, termasuk resin PET yang digunakan dalam penghasilan botol plastik.

 

Bagi Farm Fresh, resin tersebut merupakan komponen penting bagi produk susu botol satu liter dan dua liter yang menyumbang sekitar 12% hingga 13% daripada hasil kumpulan.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, syarikat itu juga perlu menanggung kenaikan kos diesel tanpa subsidi bagi kegunaan operasi seperti dandang dan traktor ladang.

 

Selain itu, kos utiliti dijangka meningkat dalam tempoh terdekat berikutan kenaikan harga gas dan arang batu yang boleh mendorong tarif elektrik lebih tinggi.

 

“Dalam masa sama, kos makanan ternakan turut berpotensi meningkat seiring kenaikan harga baja, sekali gus menambah tekanan kepada margin,” katanya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kesan keseluruhan ketegangan geopolitik terhadap prestasi kewangan Farm Fresh masih tidak pasti, namun risiko peningkatan tekanan adalah tinggi sekiranya konflik berpanjangan.

 

Seiring itu, kedua-dua CIMB Securities dan Maybank Investment telah menurunkan unjuran pendapatan syarikat, namun mengekalkan saranan ‘beli’ berikutan permintaan yang dijangka kekal stabil bagi produk makanan asas. - DagangNews.com