KUALA LUMPUR 25 Mac – Farlim Group (Malaysia) Bhd mengumumkan pelanjutan tempoh penggunaan hasil daripada penjualan tanah Gopeng oleh anak syarikatnya, Farlim (Perak) Sdn. Bhd kepada Gabong Holding Sdn. Berhad dengan nilai transaksi sebanyak RM33 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Farlim berkata penjualan tanah itu telah diselesaikan pada 11 Jun 2025, selaras dengan perjanjian jual beli bersyarat bertarikh 25 September 2024.
Farlim mendapat kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan pada 15 Januari 2025.
Sebelum ini, pada 2 Disember 2025, Farlim mengumumkan perubahan penggunaan sebahagian daripada hasil penjualan sebanyak RM8 juta untuk modal kerja am syarikat.
Dalam pengumuman terkini, Lembaga Pengarah Farlim memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggunaan hasil penjualan tanah bagi tujuan yang telah ditetapkan, termasuk perolehan tanah baharu dan modal kerja am.
“Jumlah asal yang diperuntukkan bagi perolehan tanah baharu adalah RM32.32 juta, dengan baki yang belum digunakan sebanyak RM24.32 juta, manakala RM8 juta diperuntukkan untuk modal kerja am dengan baki penggunaan sebanyak RM7.3 juta.
“Tempoh asal bagi penggunaan hasil untuk perolehan tanah adalah dalam tempoh 36 bulan, manakala bagi modal kerja am telah dipanjangkan daripada segera kepada tempoh 36 bulan dari tarikh penerimaan baki hasil penjualan pada 10 Jun 2025,” katanya dalam makluman tersebut.
Menurut Farlim, pelanjutan tempoh ini membolehkan syarikat menggunakan hasil penjualan secara lebih fleksibel dan berperingkat, termasuk untuk pembangunan projek sedia ada seperti Taman Impiana Bidor, projek baharu di Taman Impiana Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang, serta projek usaha sama dengan Fortune Lander (M) Sdn. Bhd.
Lembaga Pengarah menegaskan bahawa pelanjutan tempoh ini tidak memerlukan kelulusan tambahan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa pengawalseliaan.
Keputusan itu juga adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat dan dijangka tidak memberi kesan negatif terhadap prestasi kewangan kumpulan.- DagangNews.com








