KUALA LUMPUR 5 Feb - Fajarbaru Builder Group Bhd (FBG) menerusi anak syarikat milik penuhnya, FBG Builder Sdn Bhd dan Avionics Pty Ltd (APL), dianugerahkan kontrak bernilai RM131.6 juta daripada Kementerian Pertahanan Australia untuk menaik taraf kemudahan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth, Pulau Pinang.
Jumlah kontrak untuk fasa penghantaran kedua adalah sebanyak RM131.6 juta, dengan FBG Builder menerima RM75.9 juta, manakala bahagian APL adalah sebanyak RM55.7 juta.
Dengan kontrak terbaharu itu, jumlah nilai kerja FBG telah mencapai RM115 juta setakat semalam.
Kerja-kerja yang terlibat termasuklah penambahbaikan kemudahan di pangkalan TUDM, seperti memperbaiki permukaan lapangan terbang, sistem pencahayaan di tanah, sistem saliran, padang ragbi, gelanggang futsal dan kemudahan lain yang berkaitan.
Pangkalan TUDM Butterworth di Pulau Pinang bukan sahaja digunakan oleh tentera udara Malaysia, tetapi juga oleh Tentera Udara Australia (RAAF-Royal Australian Air Force).
Ia merupakan antara pangkalan yang dijadikan pusat latihan dan operasi bersama antara kedua-dua negara.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, pihaknya melihat peluang itu sebagai satu langkah penting yang menandakan pencapaian besar dalam kerjasama berterusan dengan Jabatan Pertahanan Australia.
"Seiring dengan usaha kami untuk meningkatkan standard, skop yang diperluas untuk projek pangkalan TUDM ini menekankan kemampuan kami untuk melaksanakan projek yang kompleks dan berkualiti tinggi dalam tempoh yang ditetapkan dan mengikut bajet," katanya dalam satu kenyataan syarikat yang difailkan kepada Bursa Malaysia.
Beliau menambah, pencapaian tersebut bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran syarikat, tetapi juga mengukuhkan reputasinya sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam industri pembinaan.
"Ini juga akan memperkukuh hubungan dua hala dan menyumbang kepada pembangunan kemudahan kritikal di kawasan tersebut," jelasnya.
Pada 15 Mac 2024, syarikat itu dianugerahkan kontrak kerja kecil antarabangsa daripada Jabatan Pertahanan Australia berkaitan fasa penghantaran separa untuk projek kemudahan reka bentuk dan pembinaan bagi pembangunan semula kemudahan yang disewa oleh Australia dan kemudahan Malaysia di pangkalan TUDM.
Selain itu, anak syarikat milik penuhnya, FBG Land Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian kerjasama strategik (SCA) dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan KJTS Group Bhd (KJTS) pada 20 Januari 2025 untuk pembangunan dan pembinaan kemudahan sistem penyejukan daerah bagi pembangunan yang dicadangkan dikenali sebagai MediCity di Pulau Pinang.
Menurut terma-terma SCA, PDC akan menyediakan tanah untuk projek tersebut, manakala FLSB akan melaksanakan pembangunan yang diperlukan. - DagangNews.com








