KUALA LUMPUR 27 Mac – Exsim Hospitality Berhad meraih subkontrak bernilai RM2.66 juta bagi kerja pembinaan dan pengubahsuaian sistem rangkaian tenaga Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata tender dianugerahkan kepada anak syarikatnya, Exsim Concepto Sdn Bhd oleh Epic Team Construction Sdn Bhd selaku kontraktor utama.
Kontrak ini melibatkan tempoh pelaksanaan selama empat bulan bermula 27 Mac 2026 dan dijadual siap pada 17 Julai 2026, dengan tempoh liabiliti kecacatan selama enam bulan selepas kerja diselesaikan.
"Skop kerja merangkumi perkhidmatan dalaman khusus selaras dengan keperluan projek tersebut serta terma dan syarat yang ditetapkan dalam surat penganugerahan (LOA)," jelas Exsim Hospitality.
Penerimaan kontrak itu adalah dalam operasi biasa perniagaan dan dijangka menyumbang positif kepada hasil, aset bersih sesaham serta tahap keupayaan kewangan kumpulan sepanjang tempoh projek.
Syarikat itu turut memaklumkan tiada risiko luar jangka dikenal pasti selain risiko operasi biasa, serta tiada kepentingan melibatkan pengarah atau pemegang saham utama dalam kontrak tersebut.
Proton yang ditubuhkan pada 1983 merupakan pengeluar kereta jenama nasional dan turut mempunyai kerjasama strategik dengan firma automotif, Geely dari China. - DagangNews.com








