Exsim Concepto raih kontrak RM127.9 juta projek pengubahsuaian dalaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exsim Concepto raih kontrak RM127.9 juta projek pengubahsuaian dalaman

Gambar/Exsim
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 Mac - Anak syarikat Exsim Hospitality Bhd, Exsim Concepto Sdn Bhd, meraih beberapa kontrak daripada pelbagai pihak bagi kerja-kerja pengubahsuaian dalaman dengan nilai keseluruhan RM127.9 juta.

 

Antara kontrak yang diperoleh termasuk reka bentuk, pengubahsuaian, pembaikan dan pengubahsuaian dalaman untuk hotel dengan 456 bilik di Menara F, Empire City Damansara yang bernilai RM100 juta.

 

Syarikat itu juga dianugerahkan kontrak daripada Exsim Development Sdn Bhd bagi kerja-kerja reka bentuk seni bina, struktur, mekanikal dan dalaman untuk rumah pameran dua tingkat di Jalan Yap Kwan Seng di sini dengan nilai RM12.6 juta.

 

Kontrak lain termasuk perjanjian bernilai RM8.5 juta dengan Exsim Lumba Kuda Sdn Bhd bagi kerja-kerja pengubahsuaian, reka bentuk dalaman dan pembinaan galeri jualan dan unit pameran Lumba Kuda di Plaza Pelangi, Johor.

 

Exsim MX4 Sdn Bhd pula dianugerahkan kontrak bernilai RM6.1 juta untuk melaksanakan dan menyiapkan kerja reka bentuk dalaman serta kerja perobohan di unit pameran Kwasa Plot 3 & 4.

 

Selain itu, satu pesanan kerja daripada Mightyprop Sdn Bhd untuk kerja-kerja pemulihan di Empire City Sales Gallery 5 telah diberikan dengan nilai RM0.7 juta.

 

Kesemua kontrak itu akan dimulakan serta-merta, dengan jangka masa siap antara satu hingga 16 bulan.

 

Pengarah Urusan Exsim, Tan Hai Liang berkata, keputusan kewangan separuh tahun terkini menunjukkan peningkatan prestasi yang stabil, disokong oleh aliran projek yang semakin berkembang yang secara beransur-ansur menyumbang kepada pendapatan syarikat.

 

"Dengan momentum yang kukuh ini, kami kini memberi tumpuan untuk meningkatkan keuntungan kumpulan dan pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, penambahan kontrak-kontrak tersebut mengukuhkan buku pesanan syarikat kepada RM243.2 juta.

 

"Melihat kepada peningkatan kerja yang ketara, kami yakin dana tambahan yang akan diperoleh untuk tujuan modal kerja dalam latihan korporat, membolehkan kumpulan mencapai sumber pendapatan yang mampan untuk sekurang-kurangnya beberapa tahun akan datang yang akhirnya memberi nilai kepada pemegang saham kami," ujarnya. - DagangNews.com