Isu penggantian sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) bagi kapal LCS TLDM memasuki fasa baharu apabila Kementerian Pertahanan (MINDEF) melihat 4 negara berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu serupa.
Menerusi kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, negara yang menjadi pertimbangan ialah Turkiye dan Korea Selatan selain dua lagi di Eropah.
Katanya, proses pemilihan itu tidak hanya tertumpu kepada spesifikasi asas, sebaliknya mengambil kira kriteria utama agar memenuhi keperluan TLDM.
Antara ciri-ciri utama adalah perlu memiliki keupayaan setanding NSM, termasuk ciri sukar dikesan radar (halimunan), mampu mengelakkan sistem pertahanan musuh serta mempunyai ketepatan sasaran yang tinggi.


Walaupun tidak disebut tetapi difahamkan empat calon terbabit adalah Exocet MM40 Block 3C buatan Perancis, ATMACA (Türkiye), Teseo MK 2E (Itali) dan SSM-700K Haeseong (Korea Selatan).
Secara amnya, kesemua sistem peluru berpandu ini mempunyai keupayaan tempur hampir sama tetapi berbeza daripada segi saiz, berat dan sistem penjejak yang diguna.
Justeru, pemilihan pengganti NSM bukan sekadar berdasarkan jarak tembakan atau kelajuan semata-mata.
Sebaliknya, aspek integrasi sistem, kos, tempoh penghantaran, logistik dan pemindahan teknologi menjadi faktor utama.
Exocet MM40 Block 3C dilihat memiliki kelebihan kerana serasi dengan sistem pengurusan tempur Thales SETIS yang digunakan pada LCS.


Keserasian tersebut membolehkan proses integrasi dilakukan tanpa pembangunan perisian tambahan yang kompleks.
Ini sekali gus mempercepatkan usaha TLDM mengoperasikan LCS mengikut jadual baharu.
ATMACA pula muncul sebagai pencabar paling kuat kerana Malaysia telah memilih peluru berpandu itu untuk kapal LMS Batch 2.
Langkah menyeragamkan jenis peluru berpandu mampu mengurangkan kos latihan, penyelenggaraan dan inventori logistik pada masa hadapan.
Hubungan pertahanan yang semakin erat antara Malaysia dan Türkiye turut memberi nilai tambah kepada pilihan tersebut.


Korea Selatan pula menawarkan Haeseong sebagai alternatif yang praktikal dan berisiko rendah.
Kerjasama sedia ada dengan syarikat LIG Nex1 melalui pembelian sistem peluru berpandu pertahanan udara K-SAAM untuk kapal LMS menunjukkan kedua-dua negara mempunyai hubungan industri pertahanan yang kukuh.
Selain itu, Korea Selatan terkenal dengan keupayaan pengeluaran yang pantas serta dasar eksport yang lebih fleksibel.
Namun Haeseong tidak menawarkan profil operasi yang sama seperti NSM yang terkenal dengan reka bentuk halimunan dan keupayaan mengelak sistem pertahanan musuh.
Teseo Mk 2E pula menawarkan jarak serangan melebihi 350 kilometer, sekali gus memenuhi keperluan operasi jarak jauh MINDEF. Dari sudut kuasa tembakan, ia merupakan antara calon paling berkeupayaan.


Bagaimana pun, saiz dan beratnya yang jauh lebih besar berbanding NSM menimbulkan cabaran.
Tempoh pengeluaran peluru berpandu Teseo Mk 2E yang panjang serta keperluan pengubahsuaian kapal yang lebih kompleks menjadikannya kurang selari dengan keperluan segera MINDEF.
Ini kerana LCS TLDM direka khusus untuk NSM dan juga sistem persenjataan buatan Perancis, maka pengubahsuaian struktur kapal berkemungkinan meningkatkan kos serta melambatkan projek.
Dalam masa yang sama, MINDEF turut berdepan pertikaian pampasan bernilai kira-kira RM1.06 bilion dengan pengeluar NSM, Kongsberg.
Dana ini sekiranya berjaya diperoleh semula dalam tempoh segera berpotensi mempengaruhi keputusan akhir perolehan.


Bagaimana pun, proses untuk mendapatkan semula wang tersebut dijangka memakan masa panjang.
Sekiranya keutamaan ialah mempercepatkan LCS memasuki perkhidmatan, Exocet MM40 Block 3C mempunyai kelebihan yang ketara.
Jika matlamatnya ialah penjimatan jangka panjang menerusi penyeragaman aset TLDM, ATMACA dilihat paling berpotensi.
Haeseong pula menawarkan keseimbangan antara prestasi, kos dan kerjasama industri yang telah terjalin.
Manakala Teseo sesuai dipertimbangkan sekiranya MINDEF mengutamakan keupayaan serangan maksimum walaupun memerlukan pelaburan tambahan.
Apa jua keputusan yang dibuat, ia akan menentukan keupayaan tempur LCS untuk beberapa dekad akan datang.
Pemilihan ini bukan sekadar soal memilih peluru berpandu, tetapi turut melibatkan strategi industri pertahanan, hubungan diplomatik dan kesiapsiagaan armada negara. - DagangNews.com








