EXIM Bank salur dana Islamik RM293 juta sokong projek Four Seasons Okinawa oleh Berjaya Land | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EXIM Bank salur dana Islamik RM293 juta sokong projek Four Seasons Okinawa oleh Berjaya Land

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 NovExport-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) menyalurkan pembiayaan pelaburan luar negara Islamik berjumlah AS$70 juta (RM293 juta) kepada subsidiari Berjaya Land Bhd bagi membiayai pembangunan projek mewah Four Seasons Resort & Private Residences Okinawa, Jepun.

 

Bank tersebut berkata, pembiayaan itu diberikan kepada Berjaya Okinawa Invest TMK, anak syarikat milik penuh Berjaya Okinawa Investment (S) Pte Ltd yang bertanggungjawab sebagai pemaju projek berkenaan termasuk perancangan dan pelaksanaan keseluruhan pembangunan.

 

“Pembiayaan ini menegaskan komitmen strategik EXIM Bank dalam menyokong pelaburan luar negara oleh syarikat Malaysia, khususnya dalam pasaran mapan dan berpotensi tinggi seperti Jepun,” katanya.

 

Projek Four Seasons Okinawa dibangunkan di atas tanah seluas 13 hektar di tepi pantai Okinawa dan akan menampilkan 279 unit penginapan mewah yang merangkumi 127 bilik resort, 124 kondominium premium serta 28 vila eksklusif.

 


Menurut EXIM Bank, kerja pembinaan utama kini sedang dijalankan dan dijangka siap pada Julai 2027, diikuti tempoh tiga bulan fasa pra-pembukaan hotel, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan AS$1.12 bilion (RM4.69 bilion).

 


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Bhd, Syed Ali Shahul Hameed berkata, kerjasama ini memperkukuh hubungan strategik antara Berjaya dan EXIM Bank yang telah terjalin lebih sedekad sejak 2010.

 

“Kami berbesar hati dengan sokongan berterusan EXIM Bank terhadap projek luar negara kumpulan. Kejayaan Four Seasons Hotel Kyoto menjadi asas kukuh bagi kami meneruskan projek di Okinawa dengan pasukan pembinaan teras yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Berjaya Land sebelum ini telah berjaya membangunkan Four Seasons Hotel Kyoto, yang meraih pelbagai anugerah antarabangsa termasuk HICAP Reggie Shiu Development of the Year Award serta Hospitality Design Magazine’s HD Awards bagi kategori Best Spa dan Best Upscale/Luxury Guestrooms and Suites.

 


Menurut EXIM Bank, pembiayaan kepada Berjaya Land itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan bank untuk memperkukuh jejak global Malaysia melalui penyertaan syarikat tempatan dalam pembangunan antarabangsa bernilai tinggi.

 


“Projek Four Seasons Okinawa mencerminkan misi kami untuk mengangkat reputasi perniagaan Malaysia ke pentas antarabangsa dan membina ekosistem pelaburan luar yang mampan,” kata bank itu.

 


Melangkah ke hadapan, EXIM Bank berkata, pihaknya akan terus memperkukuh program pembiayaan strategik bagi menyokong pertumbuhan perniagaan Malaysia di luar negara termasuk Skim Eksport Lonjakan (EXL) bernilai RM500 juta dan program Malaysia Global Connect (MGC) Go Export Cover, yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan dijadual dilaksanakan pada tahun 2026.

 


“Inisiatif ini bertujuan mempercepat pelaburan sektor swasta serta memperluas kehadiran Malaysia di pasaran bukan tradisional,” jelas EXIM Bank lagi. - DagangNews.com