ExecuJet MRO Services Malaysia terima kelulusan selenggara pesawat Falcon 7X dan 2000EX Easy dari China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ExecuJet MRO Services Malaysia terima kelulusan selenggara pesawat Falcon 7X dan 2000EX Easy dari China

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Feb - Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) meluluskan anak syarikat milik penuh Dassault Aviation, ExecuJet MRO Services Malaysia, untuk melakukan penyelenggaraan lapangan dan asas bagi pesawat Falcon 7X dan Falcon 2000EX EASy yang didaftarkan di China.

 

Pensijilan itu membolehkan ExecuJet Malaysia melakukan pemeriksaan penyelenggaraan asas termasuk pemeriksaan 4C, yang merupakan pemeriksaan paling berat dan menyeluruh untuk pesawat Falcon 7X dan 2000EX EASy.

 

Kelulusan CAAC tersebut adalah penting kerana ini adalah kali pertama ExecuJet MRO Services Malaysia diberi kelulusan untuk menyelenggara pesawat Falcon yang didaftarkan di China.

 

 

Selain itu, CAAC turut memperbaharui pensijilan ExecuJet MRO Services Malaysia sebagai organisasi penyelenggaraan yang diluluskan untuk pesawat Bombardier dan Gulfstream. 

 

Pada tahun 2019, CAAC meluluskan ExecuJet untuk menyediakan penyelenggaraan lapangan dan penyelenggaraan berat bagi pesawat Gulfstream GIV dan varian pesawat siri Bombardier Challenger serta Bombardier Globe Express.

 

falcon

 

China adalah pasaran terbesar untuk penerbangan perniagaan di Asia Pasifik dengan hampir 300 pesawat.

 

Naib Presiden Wilayah Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim berkata, China adalah pasaran penerbangan perniagaan terbesar dan lokasinya yang berhampiran dengan Malaysia memberikan kelebihan kepada syarikatnya.

 

"Kami melihat semakin banyak pesawat jet perniagaan yang didaftarkan di China terbang ke Malaysia dan bahagian lain di Asia Tenggara berikutan hubungan ekonomi yang semakin berkembang antara China dan ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, dengan pusat servis yang canggih dan pekerja yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin, ExecuJet MRO Services menjadi pilihan  terbaik untuk membantu pelanggan dari China. - DagangNews.com