Exal Malaysia bekerjasama dengan Solarvest dan GreenRE bagi pembangunan hartanah lestari di SOL Estate | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exal Malaysia bekerjasama dengan Solarvest dan GreenRE bagi pembangunan hartanah lestari di SOL Estate

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Feb - Pemaju hartanah Australia, Exal Group, melalui anak syarikatnya, Exal Malaysia Sdn Bhd, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Solarvest Holdings Bhd untuk memasang sistem fotovoltaik solar (PV) di bumbung serta kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di pembangunan SOL Estate dan projek pembangunan hartanahnya pada masa depan. 

 

MoU itu juga melibatkan GreenRE Sdn Bhd, sebuah badan pensijilan bangunan hijau, untuk memanfaatkan kepakaran GreenRE dalam mendapatkan pensijilan hijau untuk hartanah mereka.

 

SOL Estate merupakan pembangunan tanah seluas 12.54 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM430 juta. 

 

Dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029, pembangunan tersebut akan merangkumi lebih 400 unit rumah berkembar, rumah teres dan rumah bandar.

 

Pengarah Urusan Exal Malaysia, Albert Ko berkata, kerjasama dengan Solarvest dan GreenRE menandakan perjalanan hijau syarikat tersebut. 

 

"Kerjasama dengan GreenRE akan memastikan hartanah yang kami bangunkan akan memperoleh pensijilan hijau.

 

"Bagi perkongsian dengan Solarvest, kami akan menawarkan panel solar di bumbung dan kemudahan mengecas kenderaan elektrik di setiap unit rumah yang kami bina," katanya dalam satu kenyataan.

 

Upacara menandatangani MoU tersebut diadakan di kawasan pembangunan SOL Estate Exal Group di Batu Kawa, Kuching, Sarawak.

 

Pengarah Eksekutif Solarvest dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, Leon Liew berkata, pihaknya memang mencari pembangunan hartanah yang dapat menyokong matlamat syarikat untuk memperjuangkan gaya hidup mampan. 

 

"Solarvest dan Exal berkongsi visi yang sama. Kami teruja untuk menggalakkan gaya hidup mampan dalam komuniti Sarawak," ujarnya.

 

Pengurus Kanan GreenRE, Nurfateha Jamaluddin pula berkata, Exal menunjukkan contoh yang baik dalam membina rumah mampan. 

 

"Ia adalah pemaju pertama di Sarawak yang mempunyai pensijilan GreenRE untuk pembangunan mereka," jelasnya.

 

Fasa pertama SOL Estate merangkumi 74 unit rumah berkembar dan rumah teres dengan keluasan tanah antara 23 kaki x 85 kaki hingga 44 kaki x 89 kaki dan keluasan binaan antara 2,245 hingga 4,095 kaki persegi.

 

Dengan harga jualan bermula dari RM928,888, fasa itu telah habis dijual dan akan diserahkan kepada pembeli pada Jun 2025.

 

Fasa kedua, yang dilancarkan pada 2024, merangkumi 82 unit rumah teres dengan harga permulaan RM980,000. 

 

Dibina pada keluasan tanah 43 kaki x 85 kaki dan keluasan binaan 2,835 dan 2,925 kaki persegi, ia telah ditempah sebanyak 70% dan dijangka siap pada 2026.

 

Pemaju merancang untuk melancarkan fasa ketiga pada tahun ini dan fasa keempat pada 2026. - DagangNews.com